PENDUDUK melihat lokasi penemuan bahan radioaktif di Desa Latania.

Klang: Dua penduduk Pangsapuri Sri Era, Desa Latania, di sini, sudah menjalani analisis darah seperti disarankan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Ini berikutan mereka berada berdekatan lokasi penemuan dua bekas berisi bahan radioaktif pada 11 Februari lalu dan berkemungkinan besar terdedah sinar Gamma.

R Santhi, 50, berkata, dia diminta melakukan pemeriksaan oleh AELB berikutan tersentuh serpihan projektor radioaktif.

“Saya menemui serpihan itu di lantai lalu mengutip sebelum membuangnya dalam tong sampah di dalam stor kerana bimbang kanak-kanak bermain dengannya.

“Saya tidak tahu serpihan itu boleh mendatangkan bahaya sehingga polis datang ke sini minggu lalu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Santhi, AELB sudah memaklumkan dia perlu menjalani analisis darah dengan segera walaupun tidak menunjukkan simptom pening atau mual.

“Saya dibawa ke Klinik Seksyen 19 di Shah Alam oleh AELB semalam (kelmarin) dan menunggu keputusan darah,” katanya yang bekerja sebagai kakitangan pembersihan di kawasan kediaman itu sejak lapan tahun lalu.

Dalam kejadian Sabtu lalu, polis bersama pakar nuklear AELB menemui projektor radioaktif berkenaan dalam stor Blok 4 pangsapuri itu yang diletak oleh sekumpulan lelaki yang mencurinya daripada sebuah syarikat berkaitan cari gali minyak.

Selain lokasi berkenaan, pihak berkuasa turut menemui bahan sama di kedai barangan lusuh tidak jauh dari kediaman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 8:48 AM