KEAT dirawat di Hospital Taiping dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
KEAT dirawat di Hospital Taiping dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Yahya Awang


Taiping: Dua rakan niaga tidak sempat melepaskan ‘hajat’ membuang air besar apabila kedua-dua mereka cedera diserang seekor gajah dalam kejadian di Kilometer 20, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Rancangan Penempatan Semula Banun, Gerik dekat sini petang kelamrin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa Poh Keat Chye , 46, berasal dari Pulau Pinang patah tiga tulang rusuk serta mengalami pendarahan dalaman pada bahagian hati dipercayai dipijak gajah, manakala rakannya Edris Suparti, 40, wanita warga Indonesia juga patah tulang rusuk akibat serangan gajah liar itu.

Kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Pulau Pinang selepas selesai urusan perniagaan di Terengganu, pada hari kejadian sebelum mereka dipercayai mengalami sakit perut hingga terpaksa berhenti di tepi laluan berkenaan untuk membuang air.

Mangsa yang menjalankan perniagaan produk makanan kesihatan itu kini dirawat di Hospital Taiping dan dilaporkan dalam keadaan stabil serta pemantauan doktor untuk tempoh 24 jam.

Menurut Robert Poh, 60, abang kepada Keat Chye, adiknya bersama rakan niaga dalam perjalanan dari Terengganu melalui JRTB untuk menghantar Edris ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

“Sebelum kejadian, adik saya dan rakannya makan di Terengganu dan selepas itu mengalami sakit perut serta ke bilik air.

“Keat Chye kemudian memandu kereta untuk pulang ke Pulau Pinang bersama Edris, namun mereka sekali lagi mengalami sakit perut dan terpaksa berhenti di tepi jalan di kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui di Hospital Taiping di sini semalam.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian berjalan kira-kira 20 meter ke kawasan berhampiran hutan sebelum terlihat satu objek besar warna kelabu yang disangka batu.

“Secara tiba-tiba ‘batu’ besar itu bergerak dan adik saya sedar ia adalah gajah dan cuba lari, namun gajah berkenaan menolaknya dengan belalai hingga jatuh tertiarap sebelum memijak bahagian belakang badan adik saya.

“Gajah itu kemudian menyerang Edris yang turut jatuh dan memijak bahagian belakang sebelah kanan mangsa sebelum melarikan diri ke hutan,” katanya.

Robert berkata, dia difahamkan dalam keadaan menahan kesakitan adiknya memandu kereta bersama Edris ke Hospital Grik sejauh kira-kira 50 kilometer untuk mendapatkan rawatan sebelum mereka dipindahkan ke Hospital Taiping.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon yang melawat mangsa semalam berkata, kedua-dua mangsa kini dilaporkan stabil.

“Kecederaan Keat Chye agak teruk apabila patah tiga tulang rusuk kiri dan juga pendarahan dalam hati, manakala Edris pula patah tiga tulang rusuk kanan.

“Pihak hospital masih memantau untuk tempoh 24 jam bagi memastikan keadaan mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 9:38 AM