LISA (tiga dari kiri) pada majlis memperkenalkan beliau sebagai duta UNICEF, semalam.

Kuala Lumpur: Pelakon popular Lisa Surihani kini lebih terbuka untuk membabitkan anaknya Yahaira Leanne sebagai duta produk, tetapi perlu memilih tawaran yang bersesuaian sebelum membuat keputusan.

Lisa, 31, berkata, pembabitan Yahaira yang kini berusia setahun 5 bulan sebagai duta untuk koleksi terbaru pereka fesyen Jovian Mandagie sejak minggu lalu dipersetujui kerana ada batas waktu dalam bekerja.

“Ketika mendapat tawaran itu, saya berfikir panjang sebelum memberi kata putus. Ini kerana ia membabitkan anak.

“Alhamdulillah Yahaira memberikan kerjasama baik sepanjang sesi fotografi. Saya pun terkejut dia boleh beraksi dengan baik di depan kamera,” katanya.

Lisa berkata, dia dan suami, Yusry Abdul Halim akan berbincang jika ada lagi tawaran lain membabitkan Yahaira selepas ini.

“Kami tak mahu main ambil saja tanpa usul periksa. Bagaimanapun, kami akan menolak tawaran itu sekiranya membabitkan dia seorang saja,” katanya.

Lisa yang melahirkan Yahaira pada 15 September 2015 sebelum ini mengeluarkan kenyataan belum bersedia untuk mendedahkan wajah anaknya di media sosial dan terbabit sebagai duta produk.

Lisa berkata, pembabitan Yahaira dalam bidang komersial juga bukan bermaksud dia mahu anaknya terbabit dalam bidang hiburan apabila dewasa nanti.

Sementara itu, Yusry menyifatkan pembabitan Yahaira bersama Lisa sebagai duta koleksi pakaian itu adalah rezeki.

“Saya berasakan ini masa sesuai untuk Yahaira terbabit atau muncul sebagai duta produk. Saya tak pernah berkata tidak, cuma sebelum ini belum kena pada waktunya.

“Peluang itu datang sekarang, jadi tak salah untuk menerimanya. Pada masa sama dia pun sudah boleh kenal orang. Jadi tak salah untuk membawanya ke depan, tetapi ia masih mengikut keperluan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 5:22 AM