SAMPAH yang tidak diurus bertimbun di perangkap sampah.
SAMPAH yang tidak diurus bertimbun di perangkap sampah.
TIMBUNAN sampah di  Sungai Gombak dan Sungai Klang.
TIMBUNAN sampah di Sungai Gombak dan Sungai Klang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Pemasangan kira-kira 500 perangkap pencemaran kasar atau Gross Pollutants Traps (GTP) termasuk perangkap sampah di sepanjang Lembangan Sungai Klang dapat mengurangkan banyak sampah pepejal yang terdapat di sungai berkenaan.

Pengarah Bahagian Korporat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Ir Mohd Azmi Ismail berkata, ia sekali gus membantu menjadikan sungai berkenaan lebih bersih berbanding keadaannya sebelum pemasangan peralatan itu.

“GTP berfungsi menghalang sampah dari longkang daripada memasuki Sungai Klang.

“GTP sudah lama dipasang tetapi jumlah itu meningkat kepada 500 apabila projek River of Live (ROL) dilaksanakan pada 2011,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, ROL adalah usaha kerajaan untuk mentransformasi landskap Kuala Lumpur menjadi bandar raya berdaya huni tinggi dan penduduknya mempunyai kualiti hidup tinggi.

Katanya, sampah yang terperangkap pada GTP akan dibersihkan oleh kontraktor dilantik JPS secara mingguan.

“Pada peringkat awal, pemasangan GTP bersifat sementara tetapi masih diteruskan selagi masalah sampah di lembangan Sungai Klang masih belum selesai.

“Indeks Kualiti Air (IKA) Sungai Klang juga semakin baik iaitu berada pada bacaan IKA 60 (kelas 111).

“Kita menyasarkan IKA Sungai Klang pada bacaan kelas 11B iaitu sesuai untuk riadah,” katanya.

Beliau mengulas langkah yang dilaksanakan JPS susulan kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Jaafar kelmarin bahawa pencemaran Sungai Klang dan Sungai Gombak banyak berpunca daripada tindakan atau budaya masyarakat membuang sampah di situ hingga menyebabkan kedua-dua sungai itu masih berada dalam kelas dua.

Mohd Azmi berkata, sudah tiba masanya masyarakat mengubah mentaliti mereka agar tidak membuang sampah secara merata-rata.

“Mereka perlu mempunyai tanggungjawab menjaga alam sekitar dengan membuang sampah secara sistematik di tempat sepatutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 9:23 AM