Skip this ad x
ANGGOTA KPDNKK merampas alat ganti tiruan PROTON di sebuah bengkel di Pandan Jaya.
Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Kaut keuntungan lumayan hasil kegiatan menipu ribuan pelanggan dengan menjual alat ganti kenderaan tiruan jenama Proton pada harga tulen.

Tindakan licik itu dilakukan pemilik sebuah bengkel kenderaan di Pandan Jaya, Ampang di sini, sejak sekian lama.

Kegiatan itu terbongkar selepas premis berkenaan diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur jam 11 pagi, semalam.

Serbuan dilakukan berdasarkan aduan pemilik sah jenama berkenaan, selain risikan anggota KPDNKK sejak seminggu lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur Wan Mhd Yusof Wan Taib berkata, hasil pemeriksaan anggotanya di premis itu menemui 26 unit minyak pelincir dan 12 alat penapis minyak jenama Proton yang disyaki tiruan.

Menurutnya, pihak KPDNKK percaya alat ganti tiruan berkenaan sengaja diletakkan logo Proton pada kotak alat ganti Proton bagi mengaburi pengguna.

“Jumlah rampasan kali ini dianggarkan bernilai RM734 berdasarkan harga pasaran semasa dan kami turut mengambil keterangan daripada beberapa pekerja premis berkenaan untuk membantu siasatan.

“Pegawai risikan masih menyiasat sumber bekalan barangan jenama Proton tiruan itu diperoleh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (1) (b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penjualan produk alat ganti tiruan boleh membantu menyalurkan maklumat kepada pejabat KPDNKK berhampiran untuk tindakan segera,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Bahagian Strategi Korporat Proton Parts Center Sdn Bhd (PPCSB) Hafiz Hussain berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan KPDNKK dalam operasi membanteras kegiatan penjualan alat ganti tiruan Proton.

Katanya, operasi membanteras kegiatan penjualan alat ganti tiruan PROTON dilaksanakan sejak tahun 2005 dan setakat ini 140 operasi dijalankan bersama KPDNKK.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 8:22 AM