INDER Singh (depan, tengah) menunjukkan gambar aktiviti mencuci pasir yang dibimbangi penduduk.
Asrizal Aris


Puchong: Lebih 2,000 rumah di sekitar Taman Sri Puchong bakal berdepan masalah tanah mendap dan banjir kilat jika kegiatan mengorek dan mencuci pasir di kawasan perumahan itu beroperasi tanpa pemantauan.

Lebih mencurigakan, syarikat yang menjalankan aktiviti mengorek dan mencuci pasir itu didakwa beroperasi dengan permit menyimpan pasir yang tamat tempoh pada Disember 2014, namun kegiatan itu semakin giat dilakukan.

Tinjauan Harian Metro mendapati 30 hingga 40 lori keluar masuk di kawasan itu untuk mengangkut pasir menggunakan jalan utama sekurang-kurangnya tiga kawasan perumahan di situ.

Kawasan berkenaan ialah Taman Sri Puchong, Taman Mutiara Puchong dan Kediaman Glomac Lakeside yang terpaksa berkongsi jalan dengan lori yang keluar masuk di kawasan itu.

Selain menyebabkan kawasan jalan itu berhabuk, kegiatan itu juga memberi kesan negatif kepada pemandangan tasik yang berubah menjadi air lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 7, Datuk Inder Singh Beant Singh berkata, terdapat tiga tapak projek mencuci pasir dikenal pasti di kawasan itu yang dipercayai dijalankan secara haram.

“Perkara yang paling merisaukan penduduk ialah tanah mendap dan banjir kilat yang pernah berlaku di kawasan ini beberapa tahun lalu berpunca kegiatan mengorek dan mencuci pasir.

“Kegiatan itu berleluasa kerana kerja menyedut air dari bawah tanah lebih mudah berikutan kawasan itu bekas tapak lombong sebelum pembangunan dibina termasuk taman perumahan.

“Oleh itu, penduduk bimbang runtuhan besar serta kerosakan jalan apabila tanah kian mendap,” katanya dalam sidang media berhubung kegiatan cuci pasir haram di Taman Sri Puchong, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 9:44 AM