MOHD Azizi (kanan) menyembur aerosol di dalam rumah penduduk di Gugusan Melor, Kota Damansara.

Damansara: Program ‘Satu Rumah Satu Aerosol’ dilancarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam sebagai langkah proaktif mengawal penularan wabak denggi di daerah itu.

Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, kempen itu diadakan berikutan kes demam denggi meningkat di Petaling Jaya dan Selangor, antara negeri tertinggi kes denggi di Malaysia.

“Di Petaling Jaya lima lokaliti dikenal pasti dan dikategorikan kawasan panas denggi iaitu Flat Impian Baiduri Seksyen 51A sebanyak 18 kes, Gugusan Melor Seksyen 4 PJU 5 (11 kes), Mentari Court PJS 8 (21 kes), Apartmen Medan Cahaya PJS 2C (5 kes) dan Apartmen Harmoni PJU 10 (13 kes).

“Sehingga 31 Disember lalu, jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan di Petaling Jaya 5,620 kes berbanding 7,741 kes bagi tempoh sama pada 2015 iaitu penurunan sebanyak 27 peratus,” katanya ketika berucap merasmikan Program Semburan Aerosol Selangor (SAS) di Gugusan Melor, Kota Damansara, semalam.

Mohd Azizi berkata, jumlah kumulatif kematian denggi sehingga 31 Disember lalu mencatatkan enam kematian berbanding 15 kematian dalam tempoh sama.

“Program SAS bertujuan bagi meningkatkan kesedaran apabila wabak denggi di Petaling Jaya menunjukkan sedikit peningkatan kes berterusan sejak kebelakangan ini.

“Bagi meningkatkan kesedaran betapa bahayanya nyamuk aedes, kita beri semburan aerosol kepada semua penduduk kawasan ini sebagai inisiatif kesedaran pentingnya menghapuskan pembiakan nyamuk dalam rumah,” katanya.

Katanya, dalam tempoh awal Januari hingga 18 Februari 2017, 81 kes demam denggi dicatatkan di bawah pentadbiran MBPJ dengan 32 lokaliti wabak dilaporkan.

“Sebanyak 10 lokaliti wabak aktif dan satu lokaliti wabak baru dilaporkan manakala tiga lokaliti wabak tidak terkawal dan enam wabak ‘hotspot’ dicatatkan di MBPJ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 5:02 AM