AZMAN (dua dari kanan) bersama pembentang pada Program Bicara Arkeologi Lembah Bujang Siri 4/2017.
Nor Farhani Che Ad


Sungai Petani: Kedah Tua dipercayai bukanlah sebuah negara atau kawasan Hindu-Buddha satu ketika dulu sebaliknya mengamalkan kepercayaan animisme.

Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah Pusat Kemajuan Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Nazaruddin Zainun berkata, berdasarkan definisi Indianisasi yang dikemukakan daripada G Coedes, belum wujud bukti kukuh bagi menunjukkan kawasan itu mengamalkan kepercayaan Hindu-Buddha.

“Selama ini kita sering dikatakan bahawa seluruh Asia Tenggara termasuklah Kedah Tua pada satu ketika dulu pernah menganut agama Hindu dan Buddha.

“Ini adalah satu kenyataan yang sangat umum. Ada penyataan yang kita boleh terima sebagai betul dan ada yang kita boleh terimanya sebagai satu kesimpulan yang sangat rencam sifatnya,” katanya ketika menyampaikan pembentangan pada Program Bicara Arkeologi Lembah Bujang Siri 4/2017 di Muzium Arkeologi Lembah Bujang, di sini, semalam.

Dalam pembentangan selama 30 minit itu dengan tajuk ‘Warisan Hindu-Buddha di Kedah Tua: Satu Kritikan’ beliau menyatakan tujuh perkara yang tidak ditemui di dalam Kedah Tua iaitu konsep sistem beraja India, penerimaan agama Hindu-Buddha, adaptasi mitologi puranas terhadap kesusasteraan tempatan serta aplikasi dharmasastra dalam perundangan dan cara hidup.

Perkara lain pula menurutnya, penggunaan bahasa Sanskrit, penggunaan kalendar saka dan adaptasi penulisan India tidak menemui bukti baru yang menunjukkan agama itu dikatakan sebagai amalan dan kepercayaan yang dianuti masyarakat Kedah Tua satu masa dulu.

Katanya, semua kesimpulan yang dibuat oleh sejarawan selama ini adalah berdasarkan penemuan semasa.

Dalam program bicara itu turut menjemput Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM, Dr Nasya Rodziadi Khaw dan Pensyarah Kanan Jabatan Seramik Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Dr Salwa Ayob.

Sebelum itu, seramai 90 peserta daripada agensi kerajaan dan institusi pengajian menghadiri program berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Azman Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 5:01 AM