Richard (tengah) menandatangani buku Garis Panduan KKP di Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 di Tapak Pembinaan Parcel F, di Putrajaya, semalam.
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap majikan yang menjadikan 13 individu warga tempatan di ladang di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, Perak, Ahad lalu sebagai hamba abdi dengan diarah bekerja 12 jam sehari tanpa cuti.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana majikan yang didapati menindas pekerja dan melanggar peraturan ditetapkan kerajaan.

“Saya difahamkan baru-baru ini berlaku penindasan pekerja mereka dengan memberi bayaran murah dan bekerja 12 jam, perkara ini tidak sepatutnya terjadi.

“Saya arahkan pegawai di kementerian memantau dan membuat siasatan terperinci supaya kita boleh ambil tindakan ke atas majikan yang tidak berperikemanusiaan itu,” katanya selepas membuat lawatan ke tapak pembinaan Parcel F dan Majlis Pelancaran Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings (PjH) Datuk Azlan Abdul Karim.

Richard berkata, kementerian memandang serius kejadian itu dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap majikan yang melakukan perbuatan itu.

Semalam Harian Metro melaporkan, 13 individu termasuk enam wanita daripada tiga keluarga warga tempatan diselamatkan dalam operasi membanteras pemerdagangan manusia oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah ladang terpencil di Kampung Tasek di sini, Ahad lalu.

Serbuan jam 1 pagi itu turut menahan pasangan suami isteri, masing-masing berusia 44 dan 24 tahun dipercayai majikan yang menjadikan semua individu terbabit sebagai hamba abdi dengan diarah bekerja selama 12 jam sehari tanpa cuti dengan gaji RM4 sehari sejak hampir dua tahun lalu.

Semua mangsa dewasa itu berusia antara 27 hingga 64 tahun manakala dua remaja lelaki berusia 13 dan 17 tahun.

Polis turut menyelamatkan lima kanak-kanak berusia antara dua hingga tujuh tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 5:15 AM