Nuruljannah memangku Qhadeeja ketika dirawat di Hospital Jerteh.
myMetro

Pasir Puteh: “Saya panik selepas gagal dapatkan bot kerana pengendali (bot) tidak berani ke pulau (Perhentian) disebabkan laut bergelora,” kata ayah kepada Qaseh Qhadeeja Phyruzal, 14 bulan, Phyruzal Mohd Rajali, 39.

Qaseh Qhadeeja yang menghidap demam panas dan sawan dihantar ke Klinik Kesihatan Kuala Besut untuk rawatan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 10 Tok Bali, jam 4 pagi semalam.

Mengimbas kembali kejadian itu, Phyruzal berkata, dia dihubungi isterinya, Nuruljannah Mohd Amin, 26, dari Pulau Perhentian Besar memaklumkan bayi mereka demam panas yang kritikal pada jam 12.15 tengah malam.

Katanya, dia ketika itu berada di Kuala Besut kerana urusan kerja dan segera mencari bot yang sanggup ke pulau untuk membawa keluar anak dan isterinya.

“Malangnya tiada sesiapa yang berani kerana laut bergelora ketika itu dan akhirnya saya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, jam 3 pagi untuk memohon bantuan.

“Daripada situ, kami dapatkan bantuan APMM kerana hanya bot berkuasa tinggi agensi itu yang mampu dan kami berlepas dari Jeti Tok Bali jam 4 pagi dengan masa perjalanan hampir sejam.

“Sebaik tiba, bayi saya sudah kemerahan kerana suhu badannya terlalu panas. Ditemani seorang pembantu kesihatan klinik kesihatan di pulau, kami ke Klinik Kesihatan Kuala Besut selepas tiba di jeti pada jam 6 pagi dan dirujuk ke Hospital Jerteh,” katanya.

Dia bersyukur Qaseh Qhadeeja selamat dan kini stabil dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Pusat Operasi Maritim Kelantan dimaklumkan IPD Besut untuk bantuan itu dan Bot Penyelamat 7 dikerah ke lokasi.

“Kami kemudian mengarahkan Bot Penyelamat 7 untuk melaksanakan misi pemindahan dan membawa pesakit bayi itu ke Jeti Operasi Maritim Kelantan.

“Bot bersama pesakit bayi tiba di jeti pada jam 6 pagi dan terus dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Besut sebelum dirujuk ke Hospital Jerteh dan keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 9:43 AM