KEADAAN kereta mangsa terbakar selepas kemalangan di KM21.1 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, semalam.
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


Port Dickson: “Saya cuba mengelak seekor lembu yang melintas lalu terbabas ke kiri dan merempuh penghadang jalan.

“Sebuah motosikal kemudian melanggar belakang kereta saya menyebabkan penunggangnya terjatuh sebelum dirempuh beberapa kenderaan lain,” kata Norain Zulkifli, 28, salah seorang mangsa kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 21.2, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, semalam.

Kemalangan berlaku jam 6.15 pagi menyebabkan penunggang motosikal yang tiada identiti maut di tempat kejadian dengan badannya hancur digilis sebuah kereta.

Menceritakan kejadian itu, Norain berkata, dia dalam perjalanan untuk ke Kuala Lumpur dari Primaland, di sini, untuk menghadiri mesyuarat.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, saya terkejut apabila melihat seekor lembu melintas dan cuba mengelak menyebabkan kereta Perodua Axia dipandu terbabas ke kiri jalan.

“Ketika itu, cuaca gelap dan saya keluar dari kenderaan meminta pertolongan pengguna jalan raya lain.

“Tiba-tiba sebuah motosikal melanggar belakang kereta saya menyebabkan penunggang itu terpelanting di tengah-tengah jalan sebelum digilis sebuah kereta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Adzli Abu Shah berkata, kemalangan membabitkan lima kenderaan dan sebuah motosikal jenis Honda EX5.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta cuba mengelak lembu lalu terbabas di kiri jalan.

“Sebuah motosikal datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta dengan penunggang tercampak ke lorong kanan jalan.

“Sebuah Perodua Myvi datang lalu merempuh dan mengheret motosikal mangsa sejauh 120 meter.

“Kedua-dua kenderaan itu terbakar namun pemandunya sempat keluar menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa di tempat kejadian.

“Mangsa dipercayai berbangsa Melayu dan usaha mengesan waris sedang dijalankan,” katanya yang memberitahu tiga lagi kenderaan terbabit dalam kemalangan itu merempuh sesama sendiri.

Adzli berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 5:09 AM