AHMAD melihat pondok yang musnah dijilat api.
AHMAD melihat pondok yang musnah dijilat api.
 ANGGOTA  bomba  menyiasat punca kebakaran.
ANGGOTA bomba menyiasat punca kebakaran.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Jam 8.15 malam kelmarin, mereka menjalani rutin harian sebagai pelajar pondok seperti biasa dengan bersolat Maghrib dan disusuli bacaan ayat suci al-Quran serta menelaah kitab agama.

Semua 70 daripada 120 penghuni Madrasah Al-Badriah, Kampung Jal Besar, di sini, khusyuk dengan sesi pengajian yang dijalankan di surau dan masjid berdekatan sehingga tidak menghiraukan letupan kuat.

Bunyi itu diabaikan kerana menganggap ia letupan mercun mainan anak kampung sehinggalah Saqif Abdul Aziz, 15, seorang pelajar ternampak api yang marak di sebuah pondok dan mula kalut menyelamatkan diri.

Pengalaman itu diceritakan Saqif kepada wartawan, yang menemuinya sejurus kejadian, malam kelmarin. Kebakaran itu mengakibatkan 44 daripada 100 pondok musnah dan orang ramai yang mahu menyumbang boleh salurkan ke nombor akaun Maybank Madrasah Al-Badriah 553092000137.

“Nampak saja api itu, dalam fikiran saya sudah terfikir bahaya sahaja. Saya segera memberitahu rakan yang berada di surau untuk menyelamatkan diri.

“Keadaan cukup kelam- kabut dan kami berlari turun ke tingkat bawah untuk berkumpul di kawasan lapang di masjid kira-kira 50 meter dari surau.

“Dalam keadaan begitu, saya panik kerana tidak pernah melihat api sebesar itu. Tidak terlintas langsung untuk menyelamatkan barang peribadi yang ditinggalkan di dalam pondok.

“Lagipun api marak sangat cepat kerana keadaan berangin,” katanya yang hilang kitab, buku agama, barangan peribadi dan dokumen pengenalan diri.

Kisah sama turut dikongsi rakan Saqif, Muhammad Afiq Hanafi, 15, yang memberitahu sebaik berkumpul di tanah lapang, ada pelajar senior yang cuba memadamkan api namun gagal.

“Disebabkan terlalu bahaya, ustaz menegah kami berbuat demikian bimbang terkena arus elektrik atau kecelakaan lain.

“Kami bernasib baik kerana Saqif menyedari lebih awal dan tiada pelajar yang terperangkap serta tiada kemalangan jiwa.

“Hanya barangan yang musnah, namun ia boleh diganti berbanding nyawa kita,” katanya yang bersyukur tiada kejadian lebih serius dan reda dengan kerugian yang ditanggung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 5:19 AM