DUA pegawai Jabatan Imigresen yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Muhammad Mustakim Ramli


Kangar: Dua pegawai Jabatan Imigresen Perlis dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh seorang warga Bangladesh pada Oktober 2014.

Hukuman itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar ke atas Mohd Aminnudin Mohd Yasin, 35, dan Zuhairul Effendy Zualkafli, 35, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kedua-dua tertuduh didapati bersalah menyebabkan kematian pendatang asing tanpa izin, Abu Bakar Siddiqe di bilik pantri Jabatan Imigresen, di sini, antara jam 10 hingga 11 malam pada 29 Oktober 2014 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, mahkamah sedar semua intipati kes pendakwaan dan menimbangkan pembelaan secara mendalam.

Ketika keputusan dijatuhkan, Mohd Aminuddin dan Zuhairul Effendy tidak menunjukkan reaksi.

Ahli keluarga kedua-dua tertuduh dan rakan sekerja daripada Jabatan Imigresen yang berada di galeri awam mahkamah menitiskan air mata sebaik saja mendengar keputusan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 6:57 AM