MOHD Yusof bersama kerbau albino miliknya bernama Mickey.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: “Demi Mickey saya sanggup menggunakan duit simpanan sebanyak RM7,000 untuk membelinya,” kata Wan Mohd Yusof Wan Jafar, 31, pemilik seekor kerbau albino seberat lebih 800 kilogram ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gemuruh di Tepoh, dekat sini, semalam.

Mohd Yusof berkata, dia sudah lama teringin memiliki kerbau unik itu tetapi faktor kekurangan wang menjadi penghalang kepadanya.

“Saya mula minat dan berhasrat membeli kerbau yang dipanggil Mickey itu ketika haiwan itu berusia dua bulan tetapi ketika itu pemilik asalnya yang menetap di Pekan, Pahang enggan menjualnya.

“Enam tahun saya bersabar dan pada masa sama mengumpul wang untuk membeli Mickey sehingga akhirnya pemiliknya menjual kerbau albino jantan itu kepada saya pada awal Disember tahun lalu kerana melihat kesungguhan saya,” katanya yang menjadi penternak haiwan itu sejak berusia 15 tahun.

Menurutnya, dia berasa puas apabila hasratnya untuk membeli kerbau albino atau lebih popular dalam kalangan penternak sebagai kerbau balar itu tercapai.

“Kerbau albino itu unik berbanding kerbau biasa kerana warnanya yang putih kemerahan seakan-akan warna merah jambu.

“Jika 40 hingga 50 tahun dulu, penternak tidak menyukai kerbau berwarna albino seperti itu kerana ia pelik dan berbeza daripada kelaziman kerana warna asli kerbau ialah coklat kehitaman.

“Tetapi zaman sudah berubah, warna yang pelik daripada kebiasaan itu biasanya diminati dan dianggap unik, sekali gus mendapat tawaran harga yang melambung tinggi,” katanya.

Menurutnya, sejak empat bulan dia membela kerbau itu sudah ramai penternak kerbau datang menjenguk dan tidak kurang yang menawarkan harga jauh lebih mahal daripada harga asal semata-mata untuk memiliki kerbau albinonya itu.

“Terbaru Mickey ditawarkan dengan harga RM10,000 tetapi saya menolaknya dengan baik kerana masih sayang untuk menjualnya.

“Selain warnanya unik, Mickey juga jinak dan memang sesuai dijadikan haiwan kesayangan, justeru agak sukar untuk saya menjualnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 7:08 AM