DR Nor Aieni (tengah) menyampaikan sijil dan replika kepada Rozainah pada majlis Apresiasi Media UMT.

Kuala Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menawarkan kursus jangka pendek kewartawanan kepada penuntut dan wartawan muda bagi meningkatkan penguasaan penulisan di kalangan mereka yang berminat.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, kursus jangka pendek itu akan ditawarkan dalam tempoh terdekat, sekali gus memberi peluang kepada penuntut di UMT untuk mendaftar.

“Kursus itu bukan saja terbuka untuk penuntut UMT tetapi wartawan muda yang mungkin berminat untuk menambah ilmu dan kemahiran juga dialu-alukan untuk serta.

“Idea menawarkan kursus kewartawanan jangka pendek itu sebagai dorongan dan galakan kepada mereka yang berminat di dalam bidang berkenaan seterusnya mengasah dan mempelajari teknik penulisan pemberitaan yang betul.

“Kursus itu akan dikendalikan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL) UMT dan dijalankan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar,” katanya pada Malam Apresiasi Media (MAM) 2017 UMT di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, jurugambar Harian Metro, Mohd Aswadi Alias menggondol anugerah Gambar Terbaik Kategori Penyelidikan menerusi gambar bertajuk, Kuasa Lawan Ketam Nipah sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan sijil.

Kumpulan Media Prima turut ceria dengan kemenangan jurugambar, Rozainah Zakaria menerusi gambar bertajuk UMT Becomes First Malaysian University to Institute “Motor Vehicle-Free Day” yang memenangi anugerah Gambar Terbaik Kategori Am.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 6:33 AM