Najib melihat peta laluan kereta api pada Majlis Perasmian Sesi Pemeriksaan Awam ECRL di Ibu Pejabat SPAD, semalam.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuala Lumpur: Perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur dapat dipendekkan hanya dalam tempoh empat jam menerusi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang dijangka siap pada 2024.

Projek ECRL yang kini dalam peringkat pemeriksaan awam membabitkan cadangan laluan kereta api elektrik dari Wakaf Bharu, Kelantan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak yang mempunyai 23 stesen di sepanjang landasan sejauh 600.3 kilometer dan dijangka dimulakan pembinaannya pada Julai ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, projek ECRL penting untuk mengurangkan jurang pembangunan antara pantai timur dan pantai barat.

Menurutnya, menerusi projek ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tiga negeri di pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka bertambah 1.5 peratus.

“Selepas siap, kemudahan itu memudahkan perhubungan serta mobiliti kepada rakyat, sekali gus memacu kadar pertumbuhan ekonomi di negeri yang terbabit.

“Sebagai mod pengangkutan mesra alam, ECRL dapat menggalakkan aktiviti perdagangan, meningkatkan sektor pelancongan serta pertumbuhan hab industri di sepanjang jajaran,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sesi Pemeriksaan Awam ECRL di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), di sini, semalam.

Projek ECRL menyediakan perkhidmatan di semua pusat bandar utama di pantai timur, mempunyai 12 stesen penumpang, dua stesen kargo serta sembilan stesen penumpang dan kargo.

Landasan ECRL direka kalis banjir dengan ketinggian landasan atas paras selamat banjir dan satu terowong pengangkutan terpanjang sejauh 18 kilometer dibina menghubungkan Bentong, Pahang dan Gombak.

Najib berkata, projek ECRL tidak perlu dipolitikkan kerana tidak salah untuk mengadakan hubungan kerja dengan kuasa besar ekonomi kerana ia tidak menjejaskan kedaulatan negara.

“Membuat hubungan ekonomi dengan kuasa ekonomi besar seperti China, Arab Saudi dan Jepun bakal menguntungkan negara, untuk keselesaan rakyat...maka projek seperti ECRL jangan dipolitikkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 6:42 AM