BUAYA sepanjang 3.5 meter yang ditangkap dalam Operasi Sang Bedal di Sungai Peking.
Mohd Rizal Abdullah


Marudi: Selepas tiga hari diburu, seekor buaya sepanjang 3.5 meter dapat ditangkap pada Op Sang Bedal di Sungai Peking, Long Lama, berhampiran Rumah Panjang Jampang, di sini, jam 3 petang kelmarin.

Reptilia itu memakan jerat yang dipasang menggunakan umpan ayam sebelum ditembak.

Ketua Polis Daerah Marudi Deputi Superintendan Gabriel Lisu berkata, buaya itu kemudian dibawa ke tebing sungai untuk membolehkan bahagian perutnya dibelah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan oleh kakitangan Jabatan Hutan mendapati buaya berkenaan bukan yang menyerang manusia seperti sebelum ini,” katanya.

Katanya, dalam operasi berkenaan, sembilan jerat dipasang di sepanjang sungai berkenaan dan tiga daripadanya hilang dipercayai disambar reptilia itu.

“Operasi akan diteruskan bagi mengesan reptilia yang menyerang penduduk kampung bulan lalu,” katanya, semalam.

Operasi membabitkan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Marudi, Jabatan Hutan Miri dan penduduk kampung dilancarkan sejak tiga hari lalu susulan serangan buaya yang mengorbankan remaja perempuan, 21 Februari lalu.

Mangsa, Agnes Luang, 17, diserang buaya ketika mandi di sungai berkenaan bersama ibunya, jam 6.30 petang sebelum mayatnya ditemui keesokannya dengan kesan gigitan di belakang badan.

Buaya di Sarawak dikategorikan sebagai Apendiks II di Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) diadakan di Afrika Selatan sebelum ini, sekali gus membolehkan buaya di Sarawak diburu dan dijual.

Ini kerana, populasi buaya di Sarawak semakin bertambah sehingga mengakibatkan konflik antara manusia dan reptilia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 6:49 AM