ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit bersama motosikal, semalam.

Sungai Petani: “Saya terdengar bunyi dentuman di belakang treler dan ternampak asap melalui cermin sisi sebelum berhenti memandu di tepi lebuh raya untuk memeriksa sebelum terkejut melihat motosikal dan seorang lelaki melekat pada tayar kanan”

Itu kata pemandu treler, K Kumaran, 56, menceritakan kemalangan yang meragut nyawa Muhammad Osman Ali, 23, di Kilometer 105, Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Taman Angsana, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi, mangsa berasal dari Pendang, dekat sini, menunggang motosikal Kawasaki RR150 dalam perjalanan dari Gurun ke Butterworth, untuk ke tempat kerjanya di sebuah hotel di Tanjung Tokong, Pulau Pinang selepas bercuti bersama keluarga.

Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa tidak sempat mengelak dan merempuh treler.

Kumaran berkata, ketika kejadian, treler dipandunya membawa muatan baja dalam perjalanan dari kilang baja Gurun ke Kawasan Perindustrian Prai.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mendengar bunyi dentuman di belakang treler dan ternampak dari cermin sisi kepulan asap lalu membawa kenderaannya ke tepi lebuh raya.

“Saya terkejut melihat motosikal bersama seorang lelaki melekat pada tayar kanan sebelum menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Bapa mangsa, Ali Hashim, 59, berkata, arwah anaknya bekerja di sebuah hotel di Pulau Pinang beberapa tahun lalu dan Isnin lalu, dia pulang ke rumah di Kampung Pokok Tai Dalam, Pendang kerana mahu menghabiskan cuti tahunan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 7:59 AM