peralatan menghisap dadah yang ditemui bersama suspek.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Dua sepupu yang berstatus bapa dan ibu tunggal dikesan menjadikan bilik sebuah hotel bajet di Pusat Perniagaan Bahau, di sini, sebagai tempat mereka menghisap dadah.

Perbuatan terbongkar ketika pihak berkuasa menjalankan operasi mengesan perbuatan khalwat di beberapa hotel bajet di sekitar daerah ini, malam kelmarin.

Pasangan terbabit antara empat individu ditahan sepanjang operasi bersepadu polis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Jabatan Imigresen negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dan Majlis Daerah Jempol (MDJL) yang dilakukan bermula 10 malam hingga 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, pasangan berusia 30-an itu pada mulanya ditahan anggota penguat kuasa JHEAINS kerana disyaki berkhalwat.

“Namun, pemeriksaan pada beg milik lelaki terbabit menemui pelbagai peralatan menghisap dadah dan penyedut minuman berisi dadah jenis syabu.

“Polis melakukan pemeriksaan lanjut menemui beg plastik mengandungi dadah disyaki syabu seberat 10 gram yang disembunyikan di koridor bilik berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, selain pasangan itu, turut ditahan lelaki berusia 20-an di bilik hotel bajet berasingan kerana didapati positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC).

Ketiga-tiga mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 7:11 AM