PENCERAMAH jemputan, Engku Anwar Hilmi menyampaikan ceramah kepada orang ramai di MARA eUsahawan Bootcamp Edisi Usahawan Muda di Institut Jerman - Malaysia (GMI), Bangi.
PENCERAMAH jemputan, Engku Anwar Hilmi menyampaikan ceramah kepada orang ramai di MARA eUsahawan Bootcamp Edisi Usahawan Muda di Institut Jerman - Malaysia (GMI), Bangi.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Bangi: Mencari wang saku dengan menjalankan perniagaan dalam talian adalah antara aktiviti yang dijalankan dua penuntut Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur (KUPTM) ini bagi menampung perbelanjaan mereka sepanjang pengajian.

Penuntut Diploma Komunikasi Korporat, Mohamed Azim Mohd Zaid, 20 memperoleh pendapatan RM3,000 seminggu untuk perniagaan francais menjual takoyaki di kolej, selain terbabit dalam perniagaan dalam talian menerusi akaun Instagram.

Menurutnya, berasal daripada keluarga susah menyebabkannya terpanggil untuk mencari pendapatan sendiri bagi menampung pengajian.

“Saya bermula dengan mengikut peniaga berniaga di pasar malam dan karnival setiap kali cuti semester dan sejak itu terfikir untuk memulakan perniagaan sendiri dengan menyertai francais menjual takoyaki.

“Perniagaan yang bermula sejak Jun tahun lalu ini mendapat sambutan menggalakkan dan bukan saja dapat menampung perbelanjaan sendiri, malah dapat membantu keluarga. Selain itu, saya bersama dua rakan turut mengusahakan perniagaan dalam talian menjual pelbagai barangan seperti pakaian dan makanan tambahan,” katanya ketika ditemui di MARA eUsahawan Bootcamp: Edisi Usahawan Muda di sini, semalam.

Peniaga telekung, Nabilah Fatin Roslan, 23 berkata, dia sudah memulakan perniagaan dalam talian sejak menuntut di KUPTM dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia dengan menjual pakaian dan tudung.

Katanya, sejak menamatkan pengajian tahun lalu, dia membuka perniagaan sendiri dengan menjual telekung dalam talian dan kini mempunyai 23 pengedar di Semenanjung.

“Saya memohon pinjaman daripada MARA untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan telekung daripada kain lycra ini pada tahun lalu.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Keusahawanan KUPTM Noor Fazmi Harun berkata, seramai 1,500 peserta terdiri daripada penuntut KUPTM dan peserta luar menyertai eUsahawan Bootcamp yang bertujuan memberi latihan keusahawanan digital secara percuma kepada usahawan muda di bawah usia 40 tahun.

Katanya, melalui program ini, usahawan akan diberi latihan serta perkongsian ilmu berkaitan kemudahan perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 8:57 AM