JOHARI (dua kiri) bersama-sama penduduk di Program Gotong-royong Rakyat dan Sepakat Komuniti 1Malaysia di PPR Jelatek.
Fazurawati Che Lah


Kuala Lumpur: Masalah kerosakan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bakal diatasi tidak lama lagi apabila kerajaan akan menaik taraf kemudahan itu secara berperingkat bermula April ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, PPR Ampang Hilir dan Jelatek antara PPR awal yang menerima lif tahan lasak itu dianggarkan bernilai RM1 juta untuk setiap satu unit.

“Kita sudah berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melihat masalah lif di PPR lama.

“Lif jenis tahan lasak adalah yang sesuai kerana perumahan PPR memerlukan lif yang beroperasi 24 jam dan boleh pakai untuk tempoh lama,” katanya pada Program Gotong-royong Rakyat dan Sepakat Komuniti 1Malaysia, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Jelatek Mohd Isa Bakar.

Menurut Johari, lif yang tahan lasak serta selesa diperlukan di perumahan awam kerana lif sedia ada kerap mengalami kerosakan sehingga membebankan penduduk.

Dalam majlis itu, Johari berkata, gerai makanan berhampiran PPR Jalatek juga akan dinaik taraf kepada medan selera selain akan menyerahkan sumbangan van jenazah kepada pengurusan PPR itu.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, langkah kawalan modal China turut membimbangkan Malaysia.

Beliau berkata, apabila pelabur meninggalkan China ia akan menjejaskan ekonomi domestik China.

“Malaysia juga secara tidak langsung terjejas kerana keseluruhan perdagangan kita dengan China ialah 16 peratus daripada keseluruhan nilai dagangan negara iaitu RM1.5 trilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 9:58 AM