KHALID menceritakan keunikan tanah air pada program televisyen Korea Selatan.
Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com


Kuala Lumpur: Walaupun mahir bahasa Korea dan menetap di Korea Selatan, Muhamad Khalid Ismail, 29, tidak pernah melupakan bahasa ibunda dan tetap bangga dengan bahasa Melayu.

Khalid, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang juga konsultan sambilan di syarikat telekomunikasi di Seoul semakin dikenali selepas video dia muncul di stesen televisyen Korea Selatan menerangkan keunikan Malaysia tular di media sosial sejak 18 Februari lalu.

“Bahasa Korea sukar dipelajari kerana nada suara akan memberi makna berbeza.

“Walaupun sudah 10 tahun menetap di Korea, saya masih mempelajari bahasa ini melalui televisyen dan percakapan harian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, perkataan pertama yang dipelajarinya dalam bahasa Korea adalah cikgu.

“Ketika berpindah di Korea pada 2007 untuk menyambung pengajian, sukar bagi saya untuk bertutur bahasa asing (Korea) ini kerana masih pekat loghat
Kelantan.

“Saya juga bukan penggemar K-Pop atau drama Korea membuatkan saya sukar untuk mempelajari bahasa ini.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dianugerahkan pendidikan yang secukupnya terutama berjaya mendalami bahasa Korea sehingga fasih,” kata anak ketiga daripada enam beradik ini.

Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Korea University itu berkata, dia adalah bekas pelajar Maahad Muhammadi di Kota Bharu dan turut fasih bahasa Arab.

“Ketika di sekolah menengah, saya belajar bahasa Arab. Alhamdulillah sudah tahu empat bahasa.

“Bagaimanapun, bahasa ini harus dipraktikkan jika tidak bahasa yang dipelajari akan mudah lupa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 3:44 AM