Lam menunjukkan serbuk minuman dan gula-gula getah syabu yang dirampas.

Kuantan: RM250 untuk serbuk minuman syabu dan RM80 bagi gula-gula getah syabu. Itu dadah terkini dikesan cuba dipasarkan di beberapa premis hiburan di sekitar daerah ini sebelum kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Difahamkan, semua jenis dadah yang dibawa masuk dari ibu negara ke negeri ini menyasarkan golongan berpendapatan tinggi yang sering mengunjungi dan berhibur di kelab malam sebelum ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, Selasa lalu.

Ketua JSJN Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat berkata, dalam serbuan pertama jam 3.30 petang, pihaknya menahan dua lelaki termasuk seorang suspek warga Singapura berusia 32 tahun.

Beliau berkata, serbuan di rumah suspek di Taman Maju Jaya, di sini, merampas 24 peket gula-gula getah dan 16 peket serbuk dipercayai mengandungi syabu selain menemui 81.7 gram (g) Ketamin, 8.9g syabu, 290 pil Eramin 5,185 pil ekstasi serta menyita dua kereta Toyota Harrier dan Proton Saga.

“Tidak sampai beberapa jam selepas soal siasat ke atas dua lelaki terbabit, kami menahan tiga lagi lelaki berusia 15 hingga 27 tahun di depan medan selera di Jalan Gambut, di sini, dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dadah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 3:47 AM