Skip this ad x
BAZAR Ramadan kembali rancak pada Mei depan.
Nur Izzati Izzah Nadzi


Klang: Siapa cepat, dia dapat. Itu konsep digunakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada peniaga yang ingin mendapatkan tapak bazar Ramadan Mei depan.

Tahun ini, 1,859 petak bazar di 37 lokasi disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu di sekitar daerah ini.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya membuka borang permohonan permit untuk semua bazar itu kepada umum sehingga 31 Mac ini.

“Ia merangkumi bazar juadah iaitu semua bazar menjual makanan atau minuman, manakala bazar Jalan Taiping di bandar Klang untuk jualan pakaian dan barangan lain.

“Bagi memenuhi permintaan tinggi peniaga, kami membuka tapak baru di kawasan bawah Jambatan Kota,” katanya.

Menurutnya, peniaga yang berminat boleh meneliti syarat dan mengisi borang permohonan disediakan MPK.

“Mereka boleh memperoleh borang di kaunter permohonan di Lobi Bangunan Ibu Pejabat MPK sebelum tarikh akhir hujung bulan ini,” katanya.

Kata Norfiza, ia membabitkan bayaran RM150 bagi tapak yang tidak digunakan untuk pasar malam.

“Manakala, bayaran RM130 untuk tapak pasar malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 8:23 AM