Sahkeen membantu Fatimah menyuapkan susu kepada Mohd Khawarizmi dengan tiub di kediaman mereka di Kampung Tambak Sebelong, Kandang.

Melaka: Harapan Sahkeen Ahmad, 45, dan isteri, Fatimah Hamzah, 44, melihat anak lelaki tunggal mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) lebur selepas remaja itu kini terlantar akibat terbabit dalam kemalangan.

Akibat kemalangan itu, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, Mohd Khawarizmi Sahkeen, 18, parah pada kepala hingga menjejaskan otak selain patah tangan kanan dan kiri.

Fatimah berkata, kecederaan serius menyebabkan anaknya kini terlantar malah Mohd Khawarizmi juga mengalami kesukaran bercakap manakala pergerakannya terbatas.

Menurutnya, Mohd Khawarizmi turut mengalami masalah hilang ingatan hingga tidak mengenali mereka sekeluarga atau waris lain yang datang menziarah.

“Setiap hari kami perlu sediakan RM90 untuk beli satu tin susu khas seberat 400 gram untuk kegunaan Mohd Khawarizmi. Kami terpaksa berbelanja besar kerana bekalan itu hanya mampu bertahan satu setengah hari sahaja.

“Saya atau suami akan beri Mohd Khawarizmi minum susu setiap tiga jam sekali menggunakan tiub selain memeriksa dan menukar lampin pakai buang jika anak buang air besar atau kecil,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu menerima sumbangan daripada guru, pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Arab Darul Falah, Kuala Sungai Baru di kediamannya di Kampung Tambak Sebelong, Kandang, di sini, semalam.

Sumbangan itu disampaikan wakil guru sekolah berkenaan, Noor Azilah Mohamad kepada Fatimah bagi membantu meringankan beban pasangan itu.

Fatimah berkata, setakat ini dia dan suami membelanjakan RM6,000 untuk menyediakan katil khas, kerusi roda dan alat penyedut kahak bagi memberi keselesaan kepada Mohd Khawarizmi yang juga anak ketiga daripada enam beradik.

Katanya, dia risau tidak mampu menampung kos penjagaan Mohd Khawarizmi berikutan suami hanya mengambil upah melakukan kerja kampung.

Menurutnya, wang simpanan keluarganya juga semakin kurang selepas Fatimah berhenti daripada menjadi guru kontrak Kelas Fardu Ain dan al-Quran semata-mata mahu memberi tumpuan kepada Mohd Khawarizmi.

Menceritakan kemalangan menimpa anaknya, dia berkata, kejadian berlaku di persimpangan Masjid Selat, Banda Hilir, Melaka Tengah pada jam 12.55 tengah malam, 16 Februari lalu.

“Ketika kejadian, Mohd Khawarizmi yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar makan bersama rakan. Semasa melalui persimpangan itu, motosikal ditunggang anak dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki.

“Mohd Khawarizmi yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka. Dia dirawat selama sebulan di wad sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Ambank milik Fatimah, 0390020092727.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 9:41 AM