MINSYA Hakimi menunjukkan tempat membasuh kereta percuma berhadapan KTDU.
MINSYA Hakimi menunjukkan tempat membasuh kereta percuma berhadapan KTDU.

Seremban: Kompleks Tahfiz Darul Ulum (KTDU) di Jalan Paroi-Senawang, di sini mencipta kelainan apabila menawarkan khidmat mencuci kereta secara percuma di hadapan pusat pendidikan itu, sejak November tahun lalu.

Idea cetusan bekas Pengerusi Akademik Darul Ulum, Allahyarham Mohd Khairi Zainuddin yang meninggal dunia pada Disember tahun lalu.

Ketua Sektor Dana dan Pembangunan KTDU, Mohd Nazri Zainuddin berkata, program tanggungjawab sosial (CSR) itu dilaksanakan bersama beberapa kenalan arwah.

Dia yang juga adik kepada Allahyarham berkata, abangnya bersungguh-sungguh mahu menjalankan aktiviti itu dan dianggap amal jariah buat komuniti.

“Alhamdulillah, sudah lima bulan kami melaksanakan program ini. Semua peralatan dan kelengkapan untuk mencuci diwakafkan seorang hamba Allah dari Kuala Lumpur,” katanya.

Mohd Nazri berkata, biarpun perkhidmatan diberi percuma, orang ramai digalakkan memberi sumbangan dengan memasukkan wang dalam tabung diletakkan di pusat cucian terbabit.

“Semua wang sumbangan akan digunakan untuk pembinaan kompleks baru selain digunakan bagi program CSR yang lain,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan lebih 200 kenderaan sudah mendapatkan perkhidmatan cucian.

“Di kompleks ini, kami menempatkan 200 murid berusia tujuh hingga 12 tahun dan mereka mengikuti pengajian agama,” katanya.

Pekerja pusat cucian terbabit, Minsya Hakimi Mohd Shahril, 22, berkata, premis dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.

“Pada setiap bulan, kira-kira 40 kereta mendapatkan perkhidmatan di sini. Kami juga bersyukur dapat mengutip sumbangan orang ramai iaitu RM600 seminggu,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan kenderaan yang datang dari daerah ini dan perkhidmatan itu kini menjadi tular di Facebook serta aplikasi WhatsApp.

Pengunjung, Syed Isa Syed Husin, 43, berkata, dia mengetahui mengenai perkhidmatan itu sebaik dimaklumkan rakan menerusi WhatsApp membabitkan penduduk di tamannya.

Katanya, perkara yang menarik adalah selain dapat membersihkan kenderaan dia juga boleh bersedekah.

“Saya tidak pernah menemui perkhidmatan sebegini yang dibuat secara percuma. Ini kali pertama saya datang dan akan berkunjung lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 10:56 AM