PELAN pembangunan yang dipamerkan.
ORANG ramai menunjukkan duit pendahuluan RM1 .
SULTAN Ibrahim bersalaman dengan orang ramai ketika berkenan berangkat pada majlis Prapelancaran Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim di [email protected], Johor Bahru, semalam.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Walaupun kecewa tidak dapat mendaftar untuk mendapatkan Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim (YSI) sempena pelancarannya di [email protected], di sini, semalam, rata-rata pengunjung tetap bersyukur kerana masih berpeluang melakukannya secara dalam talian.

Pengurus butik kecantikan, Zainureeza Zainuddin, 28, berkata dia dan keluarganya berkumpul seawal jam 8 pagi kerana tidak mahu melepaskan peluang mendaftar Rumah Impian Bangsa Johor.

Menurutnya, dia yang tinggal di Damansara Aliff, Tampoi masih belum memiliki rumah sendiri dan mahu membeli rumah berkenaan untuk masa depannya memandangkan rumah yang berada di pasaran terlalu mahal.

“Saya sedar pada hari ini permohonan pasti mencecah ribuan orang, tetapi sekiranya ada rezeki saya tidak mahu melepaskan peluang.

“Sebagai penduduk dan rakyat Johor, saya berterima kasih kepada Sultan Johor yang prihatin dengan kehendak rakyat jelata,” katanya.

Sementara itu, usahawan, Zainureena Zain, 23, berkata dia tidak menyangka terpaksa berasak-asak bagi membuat permohonan Rumah Impian Bangsa Johor dan menunggu hampir dua jam bagi melakukan pendaftaran berkenaan.

“Golongan berpendapatan rendah dan sederhana memang menantikan dan menyambut baik bantuan seumpama ini.

“Diharapkan unit rumah berkenaan akan ditambah pada masa depan dan diperluas di daerah lain di seluruh Johor,” katanya.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Prapelancaran Rumah Impian Bangsa Johor YSI di [email protected].

Penyediaan Rumah Impian Bangsa Johor YSI itu bermula daripada cetusan baginda demi membantu rakyat yang masih belum memiliki rumah.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya Puan Che’ Khaleeda Bustamam.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

JCorp menerusi syarikat dalam kumpulannya, Johor Land Berhad (JLand) akan melaksanakan pembangunan itu di Bandar Dato’ Onn dan Bandar Baru Majidee.

Di Bandar Dato’ Onn, Rumah Impian Bangsa Johor akan dibangunkan di kawasan seluas 21.3 hektar membabitkan pembinaan lebih 520 unit termasuk 190 rumah teres, 130 rumah berkembar dan 200 rumah banglo. Rumah berkenaan ditawarkan dengan harga RM80,000 hingga RM100,000 seunit.

Manakala di Bandar Baru Majidee, 320 unit rumah akan dibangunkan di kawasan seluas 2.75 hektar dan ia terdiri daripada dua blok yang masing-masing mempunyai 12 tingkat kediaman dan ia akan ditawarkan dengan harga RM150,000 seunit.

Pembeli yang layak hanya perlu membayar wang deposit serendah RM1 dengan tawaran pinjaman 100 peratus. Satu projek dirancang Mutiara S’City Sdn Bhd di kawasan seluas 3.05 hektar di Bukit Saujana di bawah YSI pada masa depan dan ia bakal menawarkan 1,000 rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 11:28 AM