PESILAT kebanggaan SMK Chukai bersama pingat yang dimenangi.
Ahmad Rabiul Zulkifli dan Shamsudin Husin


Kuala Terengganu: Kehebatan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu dalam bidang reka cipta dan inovasi terbukti apabila sepanjang 11 tahun terbabit dengan Model Pengayaan Sekolah (SEM), enam ciptaan pelajar sekolah itu berjaya ke peringkat antarabangsa
dan menerima pelbagai anugerah.

Antara ciptaan yang menerima pengiktirafan itu ialah Dr Duster With Green Cleaner, The Miracle of Multipurpose Soap Novely, The Potential Product From Pandanus Amary Hifolius Roxb, Magical of Chanting dan Styrofoam Cutter Pen dan terbaru, Nifty Cleaner Kit.

Pengetua SM Imtiaz Kuala Terengganu Mohd Yusoff Othman berkata, setiap tahun sekolah itu akan memilih dua daripada
70 produk inovasi yang dihasilkan pelajar untuk dipertandingkan ke SEM peringkat negeri sebelum diangkat ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Menjadi dasar sekolah untuk melahirkan pelajar yang bukan hanya cemerlang dalam akademik dan penguasaan ilmu al-Quran, tetapi mereka juga diasah bagi menunjukkan kemampuan berkaitan reka cipta atau menjalankan inovasi terhadap produk sedia ada.

“Mereka didedahkan dengan pelbagai cabang ilmu untuk mempelajari dan menerokai ilmu reka cipta di bawah bimbingan dan kendalian guru yang sememangnya mempunyai kepakaran serta ditauliahkan Universiti Connecticut, Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya terbabit dalam penyertaan SEM sejak 2006 dan banyak produk yang dihasilkan, termasuk enam produk terbaik yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Terbaru, pasukan reka cipta SM Imtiaz berjaya merangkul satu pingat emas, satu perak dan tiga anugerah khas di Pameran Kreativiti dan Inovasi Eropah Ke-8 di Lasi, Romania pada 19 hingga 21 Mei tahun lalu.

“Pada pameran itu, kami mempersembahkan produk Nifty Cleaner Kit iaitu set peralatan berserta cecair sabun organik pelbagai guna untuk mencuci permukaan tingkap, bilah kipas, jeriji besi, dinding dan perabot, sekali gus menghindari berlakunya Sindrom Bangunan Sakit (SBS).

“Malah, Nifty Cleaner Kit memperoleh pingat emas dan anugerah khas daripada Romanian Inventors Forum (RIF) di pameran berkenaan,” katanya.

Menurutnya, produk lain yang tidak kurang hebatnya ialah Dr Duster With Green Cleaner iaitu set pemadam yang boleh menanggalkan sebarang kotoran degil pada permukaan papan putih
dan ia diperbuat daripada barangan terbuang serta kitar semula.

“Produk itu berjaya meraih pingat emas dan anugerah pada International Intellectual Property, Invention, Innovation & Technology Exposition (IPITEX) 2016
di Bangkok, Thailand dan pingat emas World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) Taiwan 2015.

“Kami bangga apabila produk yang dihasilkan itu cemerlang di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pelajar, Nur Athirah Noor Asa’ari, 17, dari Kampung Mengabang Telipot berkata, pembabitannya di dalam program reka cipta sekolah itu secara tidak langsung menambah kreativiti selain memberi pendedahan kepadanya mengenai ilmu berkaitan.

“Melalui program itu peserta bukan hanya didedahkan dengan ilmu reka cipta, malah kemahiran berbahasa Inggeris juga dapat dipertingkatkan apabila perlu membuat pembentangan mengenai produk.

“Paling penting kami boleh mempraktikkan teori yang digunakan pada sesi pembelajaran terutama dalam subjek sains kepada amali ketika proses mencipta sesuatu produk,” katanya.

Rakannya, Afrina Mardiah Abd Manan, 17, dari Kampung Kuala Ibai pula berkata, melalui penyertaan dan pembabitan pelajar dalam program yang dijalankan itu akan dapat memberi pengalaman dan pendedahan terhadap reka cipta.

“Kemampuan, daya inovasi dan kreativiti seseorang pelajar juga dapat dicungkil, sekali gus memberi keyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai ketika sesi penerangan dan pembentangan mengenai sesuatu produk yang dihasilkan,” katanya.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai di Kemaman, Muhammad Shahmiel Ashraf Zulkhairi, 17, pula membuktikan kemampuannya sebagai pesilat terbaik keseluruhan dalam Karnival Sukan Tempur Bela Diri Antarabangsa 2017 di Besut pada Januari lalu.

Muhammad Shahmiel adalah antara empat pelajar sekolah itu yang memenangi pingat emas dalam karnival berkenaan dan dinobatkan sebagai pesilat terbaik mengatasi pesaing dari Thailand.

Tiga lagi pesilat SMK Chukai yang turut meraih pingat emas dalam karnival itu ialah Arif Afzal Izzudin Mohd Razali, 16, Nur Khairunnisa Rusli, 16,
dan Muhammad Khairul Amar Rozali, 15.

Muhammad Shahmiel dari Kampung Rumah Murah Kemasik berkata, kemenangan itu hasil usaha gigihnya dan disiplin ketika menjalani latihan serta mematuhi arahan jadual yang diatur oleh jurulatih selain memiliki semangat kental.

“Kejayaan yang saya capai sekarang juga hasil dari sokongan Pengetua SMK Chukai Roeaidah Mat Yusof serta jurulatih Ahmad Nesfu Jusoh.

“Melalui kejayaan yang diraih di Besut baru-baru ini, ia membakar semangat saya untuk terus meraih kejayaan hingga ke peringkat dunia,” katanya.

Roeaidah pula berkata, sejak 2004 hingga 2017 hasil aktiviti Pertubuhan Silat Tarung Tapan 3 Malaysia
di SMK Chukai diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kebitaraan Kokurikulum untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Selain itu, SMK Chukai juga pernah menganjurkan Kejohanan Silat Sekolah Kluster KPM dan Jemputan Kebangsaan 2015 dengan jayanya.

“Paling cemerlang apabila empat pelajar sekolah ini meraih pingat emas dalam acara Karnival Tempur Bela Diri Antarabangsa 2017 itu sekali gus menaikkan nama sekolah ini di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 10:26 AM