CHONG menunjukkan sebahagian dadah jenis ganja yang dirampas dalam serbuan dijalankan di sekitar Cheras.
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Menjadikan sebuah kereta buruk tersadai di kawasan parkir sebuah pangsapuri di sini, sebagai ‘stor’ rahsia menyimpan bekalan dadah.

Difahamkan, kereta model Proton Wira Aeroback lusuh berwarna hijau itu diletakkan hampir setahun oleh pemiliknya untuk menyimpan stok dadah di ruangan but kenderaan.

Bagaimanapun taktik digunakan lelaki berusia 48 tahun itu terbongkar sejurus sepasukan anggota polis Balai Polis Cheras di sini, melakukan serbuan di kawasan itu 23 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, serbuan dijalankan susulan maklumat diperoleh daripada seorang lelaki yang ditahan di tepi jalan di kawasan Taman Mutiara Barat di sini, jam 2.10 pagi.

“Lelaki berusia 25 tahun terbabit ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan. Pemeriksaan di dalam beg silang dipakainya menemui satu ketulan mampat ganja seberat 1 kilogram (kg).

“Penahanan lelaki itu membawa kepada penahanan seorang lelaki dipercayai pengedar di kawasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sungai Besi di sini, jam 6 petang hari sama,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas beg dibawa lelaki itu menemui lima ketulan mampat dadah dipercayai ganja seberat
5kg.

“Ketulan ganja seberat satu kilogram itu dijual pada harga RM3,000 bagi setiap bungkus.

“Bekalan dadah ganja itu dipercayai diperoleh dari utara tanah air sebelum pengedaran dijalankan untuk bekalan di Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, berpandukan maklumat tangkapan kedua itu, polis melakukan serbuan di pangsapuri Desa Tasik, Cheras sebelum menemui 21kg ketulan mampat dadah disyaki ganja disorok di ruangan but kereta.

“Nilai keseluruhan dadah ganja yang berjaya dirampas dalam serbuan itu bernilai RM90,000.

“Kedua-dua lelaki terbabit kini ditahan reman sehingga 30 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 9:07 AM