MOHD Yunus di bawa keluar dari Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam.
MOHD Yunus di bawa keluar dari Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Seorang bekas pembantu kantin terduduk dan rebah ke lantai sebaik Mahkamah Tinggi, di sini, semalam menambah hukuman penjara terhadapnya atas tuduhan mencabul seorang murid lelaki berusia 12 tahun di sebuah sekolah di Manjung, tiga tahun lalu.

Sebaik rebah dan dibawa duduk di kerusi sebelumtangannya digari oleh anggota polis, tertuduh Mohd Yunus Hassan, 53, turut mengeluarkan perkataan mendakwa dia dianiaya dan tidak melakukan perbuatan itu.

Keputusan menambah hukuman penjara daripada sehari kepada 15 bulan dan mengekalkan hukuman denda RM4,000 dibuat Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali selepas membenarkan rayuan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling.

Mohd Yunus sebelum ini dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM4,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung pada 29 Ogos tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Yunus didakwa secara kekerasan jenayah mencabul kehormatan seorang budak lelaki berusia 12 tahun dengan memeluk dan mencium mulutnya tanpa kerelaan di tandas lelaki sebuah sekolah di Ayer Tawar, Manjung, kira-kira jam 3.30 petang, 18 November 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354, Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Mohd Yunus diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Kathan.

Terdahulu, Che Mohd Ruzima dalam penghakimannya berkata, tertuduh seharusnya tahu perbuatan dilakukannya itu adalah satu kesalahan dan tidak sepatutnya berlaku perbuatan mencabul kanak-kanak lelaki, tambahan pula dia bekerja di kantin sekolah berkenaan.

“Tindakan responden menunjukkan kecenderungannya untuk melepaskan nafsu terhadap kanak-kanak lelaki adalah di luar kebiasaan dan perbuatan itu tidak boleh dimaafkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 4:25 AM