Nur Hanim (tengah) bergambar bersama Rohimah (tujuh dari kanan) dan sebahagian guru selepas Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih Persaraan Datin Hajah Nur Hanim Ahmad di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Klang, semalam.
Siti Nor Amirah Abu Bakar


Klang: “Saya anggap cikgu Nur Hanim seperti ibu, semua pelajar sedih tetapi jasanya akan kami kenang selagi hayat dikandung badan,” kata Nabilah Ismail, 16, dengan nada sebak sambil memeluk guru kesayangannya.

Datin Nur Hanim Ahmad, 55, Guru Kanan subjek Sains dan Matematik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Klang, bersara semalam selepas 34 tahun menjadi pendidik demi memastikan anak bangsanya mendapat ilmu dan menjadi insan berjasa kepada negara.

Nabilah antara ratusan pelajar, pengetua, tenaga pengajar dan kakitangan sekolah itu yang meraikan Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih yang diadakan, semalam dengan penuh meriah sebagai tanda penghargaan kepada guru yang banyak berjasa itu.

“Saya selesa dengan cikgu Nur Hanim kerana sifatnya seperti ibu dan kami sering bertukar pendapat.

“Dia sentiasa bersikap positif dan memang kami akan merinduinya. Saya berharap cikgu tidak akan melupakan semua kenangan manis kerana kami banyak belajar menjadi insan berguna seperti yang diajar olehnya,” kata pelajar tingkatan empat itu.

Rasa yang sama dikongsi pengetua sekolah berkenaan, Rohimah Muhammad yang menganggap Nur Hanim guru yang amat berdedikasi dan sentiasa menampilkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan di sekolah berkenaan sejak 23 tahun lalu.

“Beliau amat disenangi dalam kalangan guru dan murid kerana sentiasa ceria serta memberikan yang terbaik untuk sekolah,” katanya.

Atas kesungguhan itu beliau dilantik menjadi Guru Kanan kerana wawasan dan semangat sebagai pendidik yang tinggi dalam dirinya.

Rohimah berkata, persaraan Nur Hanim amat dirasai kerana beliau memilih bersara lebih awal.

Sementara itu, Nur Hanim berkata, dia memilih bersara awal bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga.

“Sepanjang berkhidmat pelbagai pengalaman dan kenangan pahit manis yang saya rasai dan semua ini memberi makna sangat besar dalam hidup saya,” katanya.

Beliau berkata, selepas 34 tahun berkhidmat dan 23 tahun daripadanya di SMK Convent Klang, pasti sukar untuk melupakan sekolah berkenaan yang sudah sebati dalam hidupnya.

Di majlis berkenaan juga, Nur Hanim diiringi warga sekolah ke Dataran OMS dan diminta duduk di atas pelamin yang disediakan.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan penyampaian cenderamata daripada pihak sekolah sebagai menghargai jasanya berkhidmat di sekolah serta persembahan oleh pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 8:44 AM