MOHD Shamsure ditemui lemas oleh orang ramai.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Bachok: Seorang bapa sanggup berkorban nyawa apabila bertindak menyelamatkan tiga anaknya sebelum ditemui lemas di pantai Kemayang, Tawang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa Mohd Shamsure Mat, 37, lemas akibat dibawa arus, manakala anak saudaranya Nurul Huda Wan Mohd Long, 7, masih hilang.

Sebelum itu, mangsa sempat menyelamatkan tiga anaknya iaitu Nur Shahira, 11, Nurshafiqha, 9 dan Mohamad Adam Daniel, 7, yang hampir dihanyutkan ombak kuat, sebelum terjun ke laut semula untuk menyelamatkan Nurul Huda, namun dibawa arus.

Pemandu lori yang juga saksi kejadian, Mohd Ayub Ahmad, 37, berkata dia berada di kedai berhampiran pantai dan mendengar suara orang meminta tolong.

“Saya segera pergi ke pantai dan melihat tangan mangsa terkapai-kapai di dalam air. Saya terjun untuk cuba selamatkan mereka tetapi gagal kerana ombak besar.

“Ada beberapa penduduk kampung turut bersama membantu, dan kami temuinya (Mohd Shamsure) selepas 25 minit mencari, namun dia sudah tiada,” katanya.

Ibu saudara Mohd Shamsure, Mailatul Akma Rosli, 48, berkata anak saudaranya bersama isteri, tiga anaknya dan anak saudara pergi ke pantai itu untuk menghabiskan cuti hujung minggu.

“Mereka keluar dari rumah di Pengkalan Chepa pada jam 3.30 petang (semalam) sebelum saya dimaklumkan kejadian pada jam 5 petang. Kami sekeluarga bergegas ke lokasi kejadian dan masih terkejut dengan kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, sebelum kejadian Mohd Shamsure berada di atas tebing sebelum isterinya yang berdiri di gigi air menjerit memanggilnya.

“Mangsa terus berlari menyelamatkan tiga anaknya dan meletakkan mereka atas batu sebelum terjun kembali untuk menyelamatkan anak saudaranya.

“Bagaimanapun, mangsa dibawa arus deras dan ditemui lemas sebelum mayat dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), manakala anak saudaranya masih hilang.

“Operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada jam 7 malam ini (semalam) dan akan disambung pada jam 8 pagi hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 8:47 AM