DR Sahol Hamid (empat dari kiri) dan Razali (lima dari kiri) melawat tapak pameran JPB di Muar, semalam.
Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my

Muar: Penduduk Malaysia terutama ibu bapa perlu mengubah tanggapan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pendidikan kelas kedua berikutan penuntut aliran berkenaan terbukti lebih mudah mendapat pekerjaan kerana memenuhi permintaan pasaran kerjaya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata, kepakaran dalam bidang TVET dikenal pasti antara inti pati penting bagi sesebuah negara maju.

Menurutnya, ketika ini Malaysia hanya memiliki 28 peratus siswazah dalam bidang berkenaan berbanding keperluan melebihi 60 peratus.

“Berpuluh tahun lalu, TVET dianggap kelas kedua atau peluang kedua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran selepas gagal ke universiti. Ini menyebabkan kesan pemikiran atau anggapan negatif itu berlegar hari ini.

“Ia menjadi cabaran untuk kita mengubah persepsi semua pihak terutama ibu bapa terhadap bidang teknikal kerana di negara maju, siswazah TVET sentiasa menjadi rebutan,” katanya pada Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 peringkat Parlimen Muar, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Pengerusi Felcra Education Service Sdn Bhd, Datuk Hassan Johari dan Pengerusi Koprojaya, Mohamad Ammir Haron.

Razali berkata, peluang kerja dan pendapatan dalam bidang TVET luas terutama dalam sektor pekerjaan yang bergantung kepada tenaga kerja asing.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, kemahiran seseorang lepasan TVET berharga terutama dalam bidang yang kekurangan tenaga mahir menyebabkan mereka lebih mudah menembusi pasaran tenaga kerja tempatan.

“Kami berharap ibu bapa mendapat gambaran sebenar kerana selain menuntut ilmu dalam bidang ini, anak mereka mempunyai masa depan cerah,” katanya.

Sementara itu, Sahol Hamid berkata, pihaknya cuba membantu ibu bapa yang hadir ke program JPB untuk memahami perkara sebenar berhubung TVET.

“Kita bekerjasama dengan kolej teknikal dalam jelajah ini, mereka mempunyai pelbagai input berkaitan TVET untuk dikongsikan dengan ibu bapa dan pelajar sendiri.

“Cuma, tanggapan terhadap TVET perlu diubah, sebagai contoh di Jerman, mereka kini memiliki 67 peratus tenaga kerja dalam bidang teknikal yang membantu kemajuan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:35 AM