PISTOL yang dirampas susulan penahanan lima suspek di Alma, semalam.
Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Seorang lelaki menyembunyikan pistol jenis Beretta miliknya di belakang rak dapur bagi mengelak ia dikesan pihak berkuasa, namun taktik itu gagal selepas polis menemui senjata terbabit sebelum menahannya bersama empat rakannya di sebuah rumah di Alma, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, lelaki itu bersama empat lelaki lain ditahan bersama sejumlah dadah selepas anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menyerbu kediaman terbabit.

Difahamkan, ketika serbuan, polis pada mulanya tidak menemui senjata api itu namum pemeriksaan terperinci menemui pistol berserta peluru disembunyikan di belakang rak dapur.

Ketua Polis Daerah SPT Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, polis menahan semua suspek termasuk seorang warga asing dari Myanmar.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 39B, 39A(1) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:54 AM