Mohd Firdaus Ibrahim


Kuala Lumpur: Politik, ekonomi, pendidikan dan sosial antara aspek utama perbincangan yang dibahas puluhan pakar akademik, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan peserta dalam Persidangan Antarabangsa Mengenai Trend Terkini di Asia Barat yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini.

Selain Malaysia, persidangan tiga hari yang bermula semalam itu dihadiri wakil dan pakar dalam pelbagai bidang dari Singapura, China, Jepun, Bangladesh, Turki, Iran, Oman, Arab Saudi, Palestin, Sudan, Gambia serta Afrika Selatan.

Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis Universiti Utara Malaysia Dr Aminurraasyid Yatiban berkata, pelbagai usul diterima dalam persidangan berkenaan.

“Antaranya menyentuh isu politik yang membincangkan kaedah bagi mendekati kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat.

“Bagi aspek ekonomi, kita ada pemain industri yang sememangnya mampu mengenal pasti potensi serta peluang yang mampu diraih di negara berkenaan.

“Dari segi pendidikan pula, ada usul dibentangkan bagi mewujudkan kesedaran dan kefahaman masyarakat dunia mengenai isu Asia Barat. Tidak lupa juga daripada aspek kerja amal atau misi kemanusiaan, semuanya akan disentuh dalam persidangan ini,” katanya.

Menurutnya, hasil perbincangan akan mewujudkan solusi yang boleh digunakan semua pihak seperti NGO, pakar akademik dan kerajaan bagi menggerakkan strategi tepat untuk mengatasi konflik di Asia Barat.

Presiden Muslim Care Society Malaysia (Muslim Care) Zulkifli Wahijan yakin persidangan itu dapat mencapai tujuannya hasil kerjasama semua pihak.

“Ilmu dan teori penting dalam menentukan sesuatu kejayaan. Contohnya dari segi budaya, dengan ilmu kita dapat mengenali sasaran dengan lebih baik. Mahu atau tidak, perbezaan budaya ini penting difahami dan disesuaikan dengan keadaan.

“Sebagai NGO, ilmu ini akan menjadikan bantuan disalurkan lebih efektif supaya perbezaan yang ada tidak menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Zulkifli berkata, masyarakat dari negara seperti Yaman, Chad, Syria dan Palestin menganggap Malaysia serta Turki sebagai negara bertamadun dan mempunyai ilmu yang tinggi.

“Pengalaman saya dalam banyak misi, semua orang anggap Malaysia dan Turki negara maju dan berilmu. Saya percaya jika semua negara di dunia mengamalkan cara yang baik, pembebasan Baitulmaqdis bukan suatu yang mustahil,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi persidangan terbabit, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff berkata, persidangan antarabangsa kali pertama itu bertujuan membawa perbincangan berkaitan isu Asia Barat.

“Kenapa pilih kawasan ini, pertamanya kerana ia terletak di tengah dunia. Kedua, banyak agama besar berasal dari situ.

“Ketiga, terkenal sebagai kawasan minyak serta fokus utama pergolakan dunia. Jadi, saya harapkan pelajar, rakan pensyarah, NGO, dan pakar dalam semua bidang dapat berkongsi maklumat terkini perkembangan kawasan berkenaan supaya menjadi manfaat untuk semua,” katanya.

Menurutnya, persidangan itu anjuran Kumpulan Penyelidik Tamadun Asia Barat UTM dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia, UUM, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Namik Kemal Turki dan Muslim Care.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 7:41 AM