Sebahagian ahli keluarga sebak ketika memberi penghormatan terakhir kepada enam mangsa maut akibat dihempap treler di Krematorium Nirwana, Shah Alam.


Shah Alam: Suasana sedih dan pilu menyelubungi upacara pembakaran enam mayat yang maut dihempap treler membawa muatan tanah dalam kejadian di Kilometer 403.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim, Ahad lalu.

Semua mayat berkenaan selamat disemadikan di Nirvana Memorial Park Seksyen 21, di sini jam 12 tengah hari semalam.

Lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara serta rakan kepada enam mangsa berkenaan hadir memberi penghormatan terakhir.

Rakan mendiang Lam Wai Loon, S Indradevi, 68, berkata, dia sedih dengan pemergian rakannya.

“Ketika menerima berita kejadian ini saya sangat terkejut sehingga tidak mampu berkata kerana kami baru berjumpa beberapa hari sebelum kejadian.

“Wai Loon yang kami panggil Stanley sangat mesra dengan semua orang dan dia selalu tumpangkan saya apabila melihat saya berjalan kaki menuju ke Plaza Tol Batu Tiga,” katanya.

Indradevi yang bekerja sebagai pembacuh minuman berkata, dia akan rindu gurauan dan permintaan Stanley yang memintanya membancuh minuman.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Nirvana Asia, Datuk Freddy Chan berkata, pihaknya menanggung semua kos upacara berkenaan yang berjumlah RM60,000.

“Ini tanggungjawab kami dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam kemalangan jam 7.40 pagi, semua mangsa yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Ssangyong maut selepas dihempap treler yang terbabas dan terbalik di laluan sama.

Selain Wai Loon, 46, turut maut isterinya, Wong Check Lee, 53, anak mereka, Lam Jie Hong, 13, dan Lam Jie Yang, 19, bapa Wai Loon, Lim Choy @ Lam Leong Choy, 76, serta adik Wai Loon, Lam Wai Keat, 38.

Ketika ini pemandu treler itu ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 5:30 AM