Kamalanathan beramah mesra dengan pelajar yang menerima anugerah cemerlang di Sekolah Henry Gurney Telok Mas.
Salman Hamat


Melaka: “Sekolah ini menjadi tempat permulaan hidup bagi orang macam saya. Berikutan itu saya manfaatkan semua kemudahan disediakan untuk berjaya,” kata penghuni Sekolah Integriti Kajang, Selangor hanya mahu dikenali sebagai Roy, 21, yang memperoleh 7A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu.

Selain Roy, dua lagi penghuni Sekolah Henry Gurney, Telok Mas turut memperoleh keputusan sama, sekali gus membuktikan budak nakal seperti mereka masih boleh berjaya.

Roy berkata, dia ditahan di Sekolah Integriti Kajang kerana berhadapan tuduhan membunuh ketika berusia 19 tahun selepas terbabit dalam pergaduhan di Kajang.

“Selepas ditahan dan dihantar ke sekolah integriti, saya pada mulanya berasa amat kesal. Namun dorongan yang tidak putus daripada ibu bapa, guru dan semua pihak membakar semangat saya untuk bangkit semula, sekali gus memperoleh kecemerlangan dalam SPM.

“Sebenarnya saya pernah menduduki peperiksaan SPM, namun sebelum ini sekadar memperoleh 3A sahaja, pencapaian kali ini menjadikan saya lebih puas kerana berusaha dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Terdahulu, Roy menerima anugerah disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk P Kamalanathan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney Jabatan Penjara Malaysia 2017, di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, di sini, semalam.

Anak kedua daripada empat beradik itu berharap dapat melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) selepas ini dan mencapai cita-cita sebagai seorang jurutera.

“Kepada remaja di luar sana, nasihat saya kawal emosi anda, jangan lakukan kesilapan macam saya. Hargai setiap peluang yang diberikan kepada anda,” katanya.

Sementara itu seorang lagi calon memperoleh 7A hanya mahu dikenali sebagai Amin, berusia 20 tahun, meluahkan rasa syukur kerana ditahan di Sekolah Henry Gurney.

Remaja berasal dari Pahang itu ditahan ketika berusia 17 tahun selepas terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Ketika itu saya memang mewah, setiap hari saya boleh dapat lebih RM1,000. Sekarang baru saya sedar wang bukan segala-galanya tetapi perasaan gembira melihat ibu tersenyum dengan kejayaan saya.

“Syukur akhirnya dapat tunaikan impian ibu mahu melihat saya berjaya dalam pelajaran. Jika ada rezeki saya mahu jadi guru, kerana menjadi impian ibu untuk melihat seorang daripada anaknya menjadi pendidik,” katanya.

Manakala seorang lagi calon cemerlang 7A, berasal dari Selangor yang ditahan kerana kesalahan mencuri motosikal hanya mahu dikenali sebagai Baim, berusia 20 tahun berkata, dia berazam mencapai kecemerlangan selepas dicabar bapanya.

“Bukan berasa tercabar, tetapi mahu buktikan saya boleh berjaya dalam pelajaran. Pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya langsung tak dapat sijil.

“Berikutan itu kali ini, saya berazam memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM, sekali gus mengejar cita-cita sebagai jurutera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 7:41 AM