JENTERA digunakan bagi membersihkan kawasan kandang lembu haram di sekitar kawasan Sri Gombak.
Ardyhansah Amat


Gombak: Bukan saja beroperasi secara haram, dua penternak lembu turut bertindak menceroboh tanah milik orang lain dalam usaha mengaut keuntungan menjual haiwan berkenaan di Sri Gombak, di sini, semalam.

Tindakan dua individu warga tempatan itu bukan saja menceroboh, malah melanggar peraturan Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971, iaitu larangan penternakan lembu, kerbau atau mana-mana haiwan berkaki empat di sekitar daerah ini yang memperuntukkan denda sehingga RM1,000 dan sitaan.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Muhammad Suhaimi Rosli berkata, tindakan penternak itu turut menyusahkan penduduk sekitar apabila haiwan berkenaan berkeliaran sehingga memasuki kawasan perumahan sebelum menghalang lalu lintas dan merosakkan tanaman orang ramai.

“Mereka dipercayai beroperasi sejak akhir tahun lalu selepas kami menerima banyak aduan mengenai kehadiran lembu di kawasan perumahan penduduk.

“Berdasarkan gambar dan aduan itu, kami melakukan pemeriksaan sekitar Sri Gombak Townvilla dan Taman Bukit Permata sebelum mendapati kehadiran haiwan berkenaan di sana,” katanya.

Beliau berkata, penternak haiwan dipercayai sengaja membina kandang lembu di kawasan yang jauh dari jalan raya utama bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Difahamkan, mereka menggunakan tanah milik orang lain tanpa kebenaran untuk membina kandang lembu.

“Sehubungan itu, notis penutupan kandang lembu berkenaan dikeluarkan MPS kepada penternak terbabit sejak dua minggu lalu dan mengarahkan mereka memindahkan haiwan itu serta-merta,” katanya.

Terdahulu, MPS dengan kekuatan anggota seramai 60 orang termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Veterinar Gombak merobohkan dua struktur kandang lembu berkenaan apabila pemiliknya gagal berbuat demikian selepas 14 notis amaran dikeluarkan.

Menurut Muhammad, MPS akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan berkenaan bagi mengelakkan pihak terbabit mengulangi kesalahan sama.

Sementara itu, Ahli Majlis MPS Zon 4, Amir Fazlee Khalid berkata, penduduk berdepan kesukaran apabila haiwan itu dilepaskan terutamanya pada waktu malam.

“Bukan saja mengganggu lalu lintas, haiwan itu turut merosakkan tanaman dan kenderaan penduduk.

“Selain itu, pencemaran bau turut berlaku selepas haiwan berkenaan membuang najis di jalan raya atau sekitar perumahan penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 8:07 AM