Sebahagian motosikal yang disita dan mat rempit ditahan dalam operasi cegah lumba haram dijalankan anggota trafik IPD Kuantan.
Sebahagian motosikal yang disita dan mat rempit ditahan dalam operasi cegah lumba haram dijalankan anggota trafik IPD Kuantan.

Kuantan: Tindakan seorang mat rempit mempamerkan aksi berbahaya bertujuan mencabar pihak berkuasa yang melakukan sekatan jalan raya mengundang padah apabila ditahan di Batu 3, Jalan Gambang, semalam.

Remaja berusia 19 tahun itu ditahan selepas beberapa anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengejarnya sejauh lima kilometer.

Dalam operasi cegah lumba haram bermula jam 1 pagi hingga 5 pagi itu mendapati suspek turut positif dadah selain ditahan kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, penganggur itu antara 196 penunggang motosikal ditahan selepas didapati terbabit dengan kegiatan lumba haram.

“Suspek yang menunggang secara melulu sengaja mempamerkan aksi berbahaya serta cuba meloloskan diri daripada sekatan pihak berkuasa. Polis kemudian mengejarnya sejauh beberapa kilometer sebelum berjaya menahannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu.

Menurutnya, suspek terbabit diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuantan untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, operasi membabitkan dua pegawai dan empat anggota selain dibantu 29 Sukarelawan Polis (PVR) turut mengeluarkan 85 notis saman atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dilakukan ialah tidak mempunyai lesen memandu, tidak mempamerkan cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh, menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tidak menampal pelekat P dan L dan tiada cermin sisi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita 29 motosikal untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 7:29 AM