KUMPULAN Mustaqim bersama guru selepas menjuarai Festival Nasyid Sekolah-sekolah Daerah Sabak Bernam.

Sabak Bernam: Kumpulan Mustaqim yang dianggotai tujuh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Aziz (SMKUA) muncul juara Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Daerah Sabak Bernam, baru-baru ini.

Pengurus kumpulan itu Mohd Nor Alias Jais berkata, persembahan bertenaga menyampaikan dua lagu bertajuk al-Quran Asas Pembinaan Ilmu serta Penyempurnaan Akhlak dan Akhlak Mulia Jati Diri Ummah di bawah bimbingan jurulatih Rosemawati Mat Rapee berjaya memikat juri sebelum diumumkan sebagai johan festival itu.

“Selaku johan, kumpulan Mustaqim akan menggalas cabaran pada Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Negeri Selangor mewakili daerah Sabak Bernam pada 26 April ini di Sekolah Agama Menengah Pasir Panjang, Sekinchan,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan SMKUA menerima sijil dan medal yang disampaikan Penyelaras Pembangunan Persekutuan Kawasan Sabak Bernam, Salehuddin Mohd Iskan.

Hadir sama, Ketua Unit Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam, Ahmad Zamri Shamsudin.

Naib johan disandang pasukan nasyid Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, manakala tempat ketiga milik Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah.

Lapan sekolah menengah di daerah berkenaan menyertai festival itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 7:43 AM