LEE
LEE
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Majikan disaran supaya melihat isu kesihatan mental di tempat kerja secara serius kerana pengabaian faktor psikososial bukan saja merugikan pekerja, malah memberi kesan secara langsung kepada produktiviti, kecekapan dan pengeluaran.

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental Tan Sri Lee Lam Thye berkata, lebih ramai rakyat Malaysia terutama pekerja dijangka mengalami masalah kesihatan mental akibat bebanan kerja dan tekanan kos sara hidup yang meningkat.

Katanya, Hari Kesihatan Sedunia yang disambut semalam turut memilih tema berkaitan kesihatan mental iaitu ‘Kemurungan: Mari Bincang’ sempena memperingati penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pekerja di Malaysia tidak terkecuali daripada masalah ini kerana Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan seramai 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas atau 29.2 peratus populasi negara menghidapi pelbagai masalah mental.

“Jumlah itu membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan 11.2 peratus berbanding 2006.

“Selain itu, kajian WHO juga menunjukkan tekanan perasaan bakal menggantikan penyakit kardiovaskular sebagai faktor penentu utama sama ada seseorang itu masih mampu untuk terus bekerja atau tidak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 8:56 AM