ORANG ramai menolak kereta yang tersangkut di dalam banjir di Jalan Kampung Pandan.
PEKERJA tapak pembinaan melihat air Sungai Bunus yang memasuki Kolam Takungan Banjir di Kampung Boyan, Titiwangsa.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Hujan lebat selama lebih dua jam petang semalam sudah cukup untuk menenggelamkan beberapa lokasi di ibu kota selain mengakibatkan banjir kilat sekitar Lembah Klang.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung banjir kilat di enam lokasi sekitar pusat bandar ini.

“Lokasi yang terjejas adalah Taman Sri Rampai, Jalan Sentul, Batu Muda Tambahan, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Pudu berhampiran Hospital Tung Shin di sini.

“Hujan lebat sejak jam 3 petang tadi (semalam) menyebabkan air bertakung di enam lokasi berkenaan sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas luar biasa,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Kelang, di sini, berikutan air Sungai Klang dan Sungai Gisir melimpah melepasi tebing.

“Kejadian itu menyebabkan 10 rumah berhampiran sungai dinaiki air. Bagaimanapun, tiada mangsa diarahkan berpindah.

“Pada masa yang sama, banjir kilat menjejaskan laluan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Hulu Kelang,” katanya.

Mohd Sani berkata, tiga lorong laluan di MRR2 dinaiki banjir kilat menyebabkan kenderaan ringan dari arah Ampang tersekat dan tidak dapat menuju ke Gombak.

“Bagaimanapun keadaan kembali pulih selepas banjir mulai surut beberapa jam kemudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 4:37 AM