KEADAAN kereta yang terbabit nahas dengan lori.

Kulim: Seorang lelaki terbunuh selepas kereta dipandunya berlanggar dengan lori di Jalan Pokok Jambu, Sidam Kanan, Padang Serai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.10 petang, mangsa Azizan Mohamad Ali, 50, dari Kampung Kubang Sapi, Sidam Kiri, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu dan parah di badan serta kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintendan Barudin Wariso berkata, ketika kejadian mangsa datang dari Sidam Kanan menghala ke Padang Serai manakala lori dipandu lelaki berusia 48 tahun itu dari Padang Serai ke Sidam Kanan.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, lori berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.

“Pertembungan itu menyebabkan kereta mangsa rosak teruk di bahagian depan menyebabkan pemandunya tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

“Orang ramai yang melihat kejadian menghubungi polis serta bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Barudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 6:18 AM