AHMAD (tengah) menyaksikan majlis pertukaran perjanjian persefahaman  antara Mohammad Azlan (dua dari kiri) dan Srinivas. Turut hadir, Hamid (kanan).
AHMAD (tengah) menyaksikan majlis pertukaran perjanjian persefahaman antara Mohammad Azlan (dua dari kiri) dan Srinivas. Turut hadir, Hamid (kanan).
Siti Fatimah Hassan


Kuala Lumpur: Usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) Bumiputera digesa merebut peluang melalui usaha yang disediakan pelbagai agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk meningkatkan kualiti dan keupayaan mengeksport produk menerusi platform digital yang disediakan seperti program e-Trade.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia berikutan masih banyak syarikat IKS Bumiputera dilihat masih belum bersedia untuk mengeksport barangan memandangkan hanya terdapat 18 peratus saja yang mendaftar dalam program e-Trade Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berbanding 875 keseluruhan bilangan yang mendaftar.

Katanya, program e-Trade adalah platform dan usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam membantu syarikat IKS menembusi pasaran antarabangsa menerusi platform digital seperti eBay, Amazon dan Alibaba.com.

“e-Trade ialah satu program bantuan kepada syarikat IKS supaya mereka boleh memasuki platform digital antarabangsa dan menjual barangan mereka di eBay, Amazon dan Alibaba.com.

“Setakat ini sebanyak 875 syarikat sudah mendaftar dengan e-Trade dengan nilai jualan sebanyak RM131 juta.

“Bantuan yang diberikan kepada mereka ialah dalam bentuk e-baucar bernilai RM2,500 dan kemudian didaftarkan di platform antarabangsa.

“Sebahagian daripadanya mendapat ‘Golden Listing’ dan syarikat akan lebih menonjol berbanding syarikat lain.

“Antara produk yang mendapat sambutan ialah produk makanan dan minuman, perabot, produk gaya hidup selain komponen automotif.

“Kita harap lebih banyak syarikat IKS Bumiputera mendaftar kerana cuma terdapat 18 peratus daripada 875 syarikat saja dan antara puncanya disebabkan tidak bersedia dari segi kualiti dan keupayaan mengeksport produk,” katanya pada sidang media selepas merasmikan platform e-dagang, LetMALL, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Usahawan Bumiputera Malaysia (PUBM) Mohammad Azlan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif U&Me Communication Srinivas Odatti dan Ketua Pegawai Operasinya Hamid Rashid.

Pada majlis itu, Ahmad turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara PUBM dan U&Me Communication untuk memasarkan produk IKS menerusi platform digital terbabit.

Sementara itu, Azlan berkata, kerjasama itu bakal memberi peluang kepada usahawan IKS untuk memperluaskan serta melonjakkan jualan produk tempatan masing-masing kerana ia menggabungkan platform e-dagang, jaringan rangkaian dan produk IKS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 6:14 AM