KEADAAN kereta dinaiki Muhd Nabil Iskandar yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27.5 Jalan Ulu Sepetang-Redang Panjang, Batu Kurau, Taiping.
myMetro

Taiping: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas kereta dipandu bapanya dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan di Kilometer 27.5, Jalan Ulu Sepetang-Redang Panjang, berhampiran Taman Hijrah, Batu Kurau, di sini, kelmarin.

Mangsa, Muhd Nabil Iskandar Muhd Fuad, 12, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala bapanya, Muhd Fuad Mohd Fuzi, 40, patah tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan itu hanya membabitkan kereta Proton Iswara yang dipandu Muhd Fuad bersama anak lelakinya.

“Muhd Fuad yang beralamat di Batu 13 Pondok Quin, Batu Kurau, dikatakan dalam perjalanan dari Jelai menghala ke Pekan Batu Kurau dan sebaik tiba di lokasi kejadian, dia gagal mengawal keretanya lalu terbabas ke kiri jalan menyebabkannya cedera di beberapa anggota badan termasuk patah tangan kanan.

“Anak lelakinya pula disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga dan mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati, ketika kemalangan berlaku laluan jalan raya basah susulan hujan dan lalu lintas tidak sibuk. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting berkata, sebaik mendapat maklumat awam mengenai kemalangan itu, pihaknya ke lokasi kejadian sebelum mendapati Proton Iswara berkenaan melanggar tebing longkang berhampiran.

“Maklumat awal mendapati kereta berkenaan dipercayai terbabas dan berpusing sebelum melanggar tebing longkang,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang maut dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 9:30 AM