TINJAUAN aktiviti warga asing di sekitar Jalan Yap Ah Loy, Kuala Lumpur sempena cuti umum Tahun Baru Cina lalu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Keadaan masih sama dan tidak berubah. Itu situasi yang dapat dilihat di beberapa kawasan tumpuan di bandar raya ini apabila warga asing masih lagi menjadikan lokasi tertentu sebagai ‘port’ untuk mengadakan perjumpaan dalam kalangan mereka hingga mengganggu ketenteraman awam.

Malah, koloni warga asing ini tanpa rasa gentar dilihat menjalankan perniagaan di kaki lima deretan kedai selain ada juga antara mereka yang membuang sampah merata-rata hingga mencacatkan pemandangan.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan tumpuan warga asing seperti di Jalan Petaling, Chow Kit dan Kotaraya mendapati kebanyakan warga asing masih menjalankan aktiviti mereka seperti biasa tanpa rasa gentar terhadap pihak berkuasa.

Walaupun lokasi berkenaan sebelum ini pernah diserbu pihak berkuasa, mereka menganggapnya bukan masalah besar berikutan mengetahui beberapa laluan tikus untuk melarikan diri.

Seorang peniaga telefon bimbit yang dikenali sebagai Hasan, 30, berasal dari Dhaka, Bangladesh mendakwa, dia ada memasang pengintip untuk mengetahui pergerakan pihak berkuasa.

“Oleh sebab itu kebanyakan peniaga warga asing di sini ‘selamat’ sebab jika ada penguat kuasa boleh tutup kedai awal dan rakan lain lari ikut pintu belakang,” katanya yang menjalankan perniagaan sejak dua tahun lalu.

Ironinya, kawasan berkenaan seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dan keadaan itu menyebabkan ada antara warga asing ‘naik kepala’ hingga berani mengganggu penduduk tempatan.

Seorang pekerja kedai makan, Hasrul Hazim Naim, 25, berkata, kawasan sekitar Kotaraya lebih dikenali sebagai ‘port’ koloni warga asing dan ramai penduduk tempatan takut untuk ke lokasi berkenaan berikutan bimbang diganggu mereka.

“Mereka melakukan aktiviti seperti berada di negara sendiri iaitu tidak menghiraukan orang ramai dan sentiasa membuat bising apabila berkumpul dalam kalangan warga asing.

“Kebanyakannya terdiri warga Nepal, Bangladesh serta Vietnam dan paling ketara ketika cuti hujung minggu apabila warga asing terbabit berkumpul dan mabuk malah bergaduh sesama sendiri,” katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Imigresen Kuala Lumpur berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan secara berkala terutama pada cuti hujung minggu dan musim perayaan.

“Sememangnya terdapat beberapa kawasan panas di bandar raya ini yang sentiasa dipenuhi warga asing hingga mengganggu ketenteraman awam.

“Namun, tidak semua antara mereka adalah pendatang tanpa izin dan pihak kita juga ada menempatkan beberapa anggota untuk melakukan pemantauan dan akan bertindak secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Selain itu, beliau berkata, Jabatan Imigresen juga sentiasa bekerjasama dengan jabatan lain dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan kawasan tumpuan tidak diganggu oleh pendatang tanpa izin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 3:42 AM