Kamaluddin bersama isteri dan anak mereka Mohd Hasli Wafi (dua dari kanan) serta Mohamad Amirul Mussodiqin (kiri).

Bentong: “Saya sedih tidak mampu memberikan rawatan sempurna untuk dua anak yang menghidap penyakit buah pinggang dan masalah injap jantung terkoyak.

“Sehingga kini, saya tidak dapat membawa mereka menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur seperti disarankan doktor kerana masalah kewangan,” kata Kamaluddin Mohamed, 45.

Kamaluddin berkata, anaknya Mohd Hasli Wafi, 9, menghidap penyakit buah pinggang, manakala Mohamad Amirul Mussodiqin, 7, masalah injap jantung koyak.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, isterinya Naskin Che Leh, 30, turut mengalami masalah buah pinggang selepas terkena jangkitan kencing tikus dua tahun lalu.

“Dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM800 sebulan sebagai pembantu kedai, saya tidak mampu memberikan rawatan sempurna untuk anak-anak,” katanya di rumahnya di Flat Delima, Bukit Tinggi, di sini, kelmarin.

Katanya, sehingga kini dia belum pernah menerima bantuan mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pusat Zakat.

“Tahap kesihatan mereka tidak menentu dan sering dalam keadaan lemah. Pada bulan lalu, Mohamad Amirul Mussodiqin kencing bercampur darah,” katanya.

Sementara itu, Naskin berkata, sebagai ibu dia berharap kedua-dua anaknya sembuh dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Justeru, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Kamaluddin talian 019 9668642.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 4:12 AM