ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi mayat lelaki dibunuh teman serumah di Estate Belenggu Hall, Mentakab.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Temerloh: Masakan tidak sedap dan kotor dipercayai punca seorang lelaki dibunuh di rumah pekerja ladang di Estate Belenggu Hall, Mentakab, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa berusia 59 tahun yang juga pekerja ladang berkenaan dipercayai ditendang, ditumbuk dan dipukul suspek yang juga rakan serumahnya.

Mayat mangsa ditemui orang awam jam 9 pagi kelmarin sebelum melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Superintendan Zundin Mahmood berkata, pihaknya menemui mayat mangsa tertiarap di depan pintu bilik rumah berkenaan dengan kesan cedera di bahagian muka, kepala, dada serta tangan kirinya patah.

“Hasil siasatan mendapati punca pergaduhan disebabkan rakan serumah mangsa tidak berpuas hati dengan makanan dimasak lelaki itu yang dikatakan kotor dan tidak sedap.

“Teguran dibuat suspek menyebabkan kedua-dua mereka tidak berpuas hati sebelum suspek menumbuk, menendang dan memukul mangsa dengan batang kayu dan parang,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Zundin berkata, berikutan pergaduhan itu, mangsa patah tulang rusuk kiri dan kanan, retak tulang hidung dan rahang, patah tulang tangan kiri serta pendarahan di kepala.

“Bagaimanapun, kelmarin pihak kami menahan suspek di dalam ladang tidak jauh dari lokasi kejadian tidak sampai 24 jam mayat mangsa ditemui orang awam.

“Semakan rekod dijalankan ke atas suspek lelaki berusia 35 tahun itu mendapati dia mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah lain,” katanya.

Menurutnya, suspek direman seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 5:41 AM