ANTARA barang yang dirampas polis daripada sindiket along.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Geng ceti haram atau along ‘kaki carut’. Itu gambaran sesuai terhadap sindiket pinjaman wang tanpa lesen yang gemar mengugut peminjam menggunakan kata-kata kesat serta lucah sekiranya peminjam gagal melunaskan hutang.

Risikan dilakukan polis mendapati sindiket berkenaan menggunakan kekerasan dan bertindak ganas dalam menjalankan aktiviti mereka terhadap ramai mangsa.

Bagaimanapun, sindiket yang mempunyai organisasi tersusun pelbagai peringkat dan bergerak aktif di enam negeri di Semenanjung Malaysia itu akhirnya lumpuh apabila 31 along ditahan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam Operasi Vulture, kelmarin.

Difahamkan, tangkapan berkenaan membabitkan keseluruhan ahli sindiket bermula dari pemilik, pengurus, penyelia, pemberi hutang, pengutip hutang dan pekerja am, namun dipercayai terdapat saki-baki ‘kakitangan’ yang masih bebas.

Pengarah JSJK Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi dengan bantuan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman itu dijalankan serentak di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan bermula pagi kelmarin dan berakhir jam 5 pagi semalam.

“Hasil serbuan berkenaan, seramai 27 lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia dari 23 hingga 40 tahun berjaya ditahan. Polis turut merampas 16 kenderaan pelbagai model dan wang tunai RM25,850.

“Polis turut menyita dua rumah milik sindiket along itu di Nilai, Negeri Sembilan.

“Sebanyak 17 telefon bimbit, barang kemas, empat jam tangan berjenama, 38 kad ATM milik peminjam, 14 buku akaun pelbagai bank dan 10 komputer riba turut dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan bernilai RM1,310,850,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, semua suspek akan disiasat mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Kesedaran orang awam untuk tidak membuat pinjaman dengan sindiket along mampu menangani kegiatan haram ini.

“Kumpulan along ini wujud ekoran terdapatnya permintaan daripada peminjam.

“Pada awalnya semua tampak mudah apabila sindiket ini menawarkan prosedur ringkas dan pantas bagi membolehkan sesiapa sahaja berhutang.

“Namun semuanya bertukar mimpi ngeri apabila mangsa gagal membayar ‘bunga’ hutang yang tinggi sebelum menerima pelbagai ugutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 6:02 AM