MUHAMMAD Aqil Adli menerima kunjungan sukarelawan di rumahnya di Kulai.
Mary Victoria Dass


Kulai: Pada usia lebih setahun, Muhammad Aqil Adli Muhammad Zaki, 13, kehilangan mata kiri kerana terpaksa dibuang akibat barah, namun ia tidak menjejaskan semangatnya untuk menimba ilmu termasuk memasang impian memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Malangnya, untuk kali kedua dia menerima dugaan besar apabila disahkan mengalami barah pada Ogos lalu hingga menyebabkan pergerakannya terbatas.

Ibunya, Asmah Jamien, 45, berkata hingga kini doktor tidak dapat mengenal pasti jenis barah dialami anak keempatnya itu.

Menurutnya, Muhammad Aqil Adli pernah terjatuh ketika bermain bola sepak Jun lalu dan selepas kejadian itu keadaannya semakin lemah.

Katanya, ia mengakibatkan Muhammad Aqil Adli yang pernah menjalani pemeriksaan kesihatan di beberapa klinik berhampiran rumahnya dirujuk ke hospital awam.

“Hasil imbasan X-ray dan ujian darah, dia disahkan menghidap barah pada Ramadan lalu dan ia tidak berpunca daripada sel barah yang pernah dialaminya sebelum ini.

“Muhammad Aqil Adli hanya sempat menduduki peperiksaan percubaan dengan menjawab empat subjek dan memperoleh 3A dan 1C. Dia juga menjalani 10 kali rawatan kimoterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya yang tinggal di Taman Putri, di sini.

Asmah berkata, Muhammad Aqil Adli yang didaftarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Putri, Kulai, tidak berpeluang bersekolah disebabkan kesihatannya bertambah buruk.

Menurutnya, dagu Muhammad Aqil Adli semakin membengkak hingga dia mengalami kesulitan untuk mengunyah makanan selain hanya mampu bergerak dengan bantuan keluarga.

Katanya, bagi mengelak anaknya kekurangan vitamin, keluarganya memberikan susu khas disyorkan doktor walaupun harganya mahal.

“Kami sekeluarga mengutamakan Muhammad Aqil Adli dengan harapan dia sembuh secepat mungkin.

“Kami bersyukur kerana dia kuat melawan penyakit dan mahu mengejar cita-citanya menjadi arkitek,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Muhammad Zaki Mohd Nazam bernombor 151593013460.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 6:19 AM